Isu anak lahir luar negara, Kabinet lulus cadangan pinda Perlembagaan
PUTRAJAYA - Kabinet meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan hak kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
"Hari ini saya bentangkan pindaan dan Kabinet telah memberi 'lampu hijau' sepenuhnya," katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Jumaat.
Menurutnya, proses berikutnya seperti penerangan kepada pihak media dan sesi libat urus dengan pemegang taruh akan diadakan.
"Saya akan teruskan proses-proses berikutnya," ujar beliau.
Jelas Saifuddin, pihaknya menjangkakan draf cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
"Kita perlu ikut urutan kerana kementerian yang lain juga ada jadual mereka.
"Jadi, kita kena daftar dan menunggu tarikh daripada Setiausaha Dewan Rakyat," katanya.
Disember tahun lalu dilaporkan Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.
Draf tersebut dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!