97 peratus perniagaan di Malaysia ada wanita dalam pengurusan kanan

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 97 peratus perniagaan di Malaysia mempunyai wanita dalam pasukan pengurusan kanannya pada masa ini berbanding 92 peratus pada 2023, sekali gus menunjukkan pertumbuhan yang positif, kata Rakan Kongsi Audit dan Jaminan, Grant Thornton Malaysia (GT), Foo Lee Meng.

Menurut laporan Women in Business oleh GT, Malaysia kekal konsisten dengan 40 peratus jawatan pengurusan kanan disandang oleh wanita sejak dua tahun lepas.

Data itu berdasarkan hasil dapatan dalam kaji selidik GT, menerusi kira-kira 5,000 temu bual pada Oktober hingga November 2023 dengan ketua pegawai eksekutif (CEO), pengarah urusan, pengerusi dan pembuat keputusan kanan lain daripada semua sektor industri dalam perniagaan pasaran pertengahan di 28 negara.

"Daripada data yang kami kumpulkan, pengarah sumber manusia, ketua pegawai kewangan (CFO) dan ketua pegawai pemasaran adalah tiga jawatan kanan paling teratas dipegang oleh wanita di Malaysia.

"Kami mendapati rekod tertinggi CFO wanita, dengan 54 peratus perniagaan di Malaysia mempunyai CFO wanita, meningkat 14 mata peratusan daripada 40 peratus pada 2023,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peratusan perniagaan di Malaysia dengan CEO atau pengarah urusan wanita pula adalah 12 peratus pada 2024, di bawah purata global pada 19 peratus.

Lee Meng berkata, di peringkat global pada 2024, sebanyak 33.5 peratus jawatan pengurusan kanan dipegang oleh wanita dengan peningkatan hanya 1.1 mata peratusan sejak 2023.

Walaupun kemajuan dicatatkan dalam mata peratusan, namun pertumbuhan kekal perlahan dari segi penglibatan wanita bagi jawatan kanan.

Artikel Berkaitan:

"Sejak pandemik, terdapat kemajuan tetapi masih perlahan.

"Tanpa fokus yang lebih besar terhadap isu ini, kesetaraan wanita dalam pengurusan kanan tidak akan dicapai sehingga 2053 pada kadar semasa,” katanya.

Beliau berkata, 46 peratus perniagaan di Malaysia mengamalkan kepelbagaian, kesaksamaan dan penglibatan (DE&I) serta strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan 40 peratus wanita dalam jawatan kanan.

Oleh itu, sebahagian besar perniagaan di Malaysia mengguna pakai model kerja yang fleksibel dengan 15.9 peratus berbanding purata global 5.1 peratus, ditambah dengan peratusan lebih rendah bagi firma yang mengutamakan operasi di pejabat pada 43 peratus berbanding purata global 47 peratus.

Lee Meng berkata, GT International Business Report (IBR) ialah kaji selidik perniagaan yang menemuramah hampir 5,000 eksekutif kanan di syarikat tersenarai dan pegangan persendirian di seluruh dunia. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!