PM mahu susulan segera libat MoU, pelaburan dicapai di Australia - Fahmi

Fahmi (kanan) pada sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi hari ini. Foto Bernama
Fahmi (kanan) pada sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jemaah Menteri membuat tindakan susulan segera, berkaitan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dan komitmen pelaburan yang dicapai pada lawatan ke Australia baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut hari ini.

"Perdana Menteri memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai beberapa tindakan susulan yang perlu diambil, lanjutan kepada siri MoU dan niat pelaburan.

"Ini telah disampaikan (oleh Anwar) dan menteri-menteri sedia membantu menyegerakan beberapa perkara,” katanya.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Perdana Menteri juga memaklumkan siri perbincangan bersama ASEAN secara bilateral dalam lawatan itu, antaranya dengan Thailand untuk menarik lebih ramai pelancong dan fokus Malaysia ialah pada Langkawi.

Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing diminta untuk meneliti beberapa perkara termasuk isu kos makanan yang meningkat di Langkawi, yang perlu diberi penekanan.

Anwar mengadakan lawatan rasmi empat hari ke Australia pada 4 hingga 7 Mac, di mana beliau menyertai Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) dan Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia di Melbourne.

Perdana Menteri mengakhiri lawatannya di Canberra, di mana beliau menyampaikan syarahan umum di Australian National University dan bertemu Gabenor Jeneral Australia David Hurley.

Artikel Berkaitan:

Fahmi berkata, Jemaah Menteri menerima perkembangan dan perincian hasil lawatan Perdana Menteri ke Australia yang disifatkan berjaya kerana berupaya menarik minat syarikat Australia untuk melabur dan mengembangkan pelaburan sedia ada berjumlah RM24.5 bilion di Malaysia, hasil pertemuan dengan 20 syarikat di Melbourne dan empat MoU turut dimeterai.

MoU itu ialah Pengaturan Praktikal di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia untuk Kerjasama dalam Bidang Sains dan Teknologi, dan Aplikasi untuk Pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT) dan Keselamatan Siber dan Teknologi Kritikal, manakala dua lagi MoU yang boleh diperbaharui ialah kerjasama dalam bidang sukan dan kolaborasi dalam sektor pendidikan tinggi.

Fahmi berkata, kejayaan itu menunjukkan usaha bertambah baik dalam mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia-Australia, serta mencerminkan masa depan cerah dalam hubungan antarabangsa. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!