'Tidak jejas fokus saya untuk terus bersuara' - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan bahawa tindakan saman yang dilakukan oleh bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tidak menjejaskan fokus dan tumpuan beliau daripada terus bersuara mengenai isu-isu rakyat dan kepentingan awam.

Ujar Wan Ahmad Fayhsal, laporan yang telah dibuat oleh sebuah media tempatan berhubung isu tersebut disifatkan sebagai satu kegemparan yang menakutkan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Ia seolah-olah Kerajaan Madani semakin kuat dan kami akan diheret ke mahkamah apabila membuat pendedahan-pendedahan untuk kepentingan rakyat.

“Motif laporan media tempatan yang dibuat hari ini berkenaan perkara yang telah pun dikendalikan para peguam di mahkamah, menimbulkan persoalan apakah ini semua usaha untuk menakutkan dan menutup mulut masyarakat daripada mengkritik kerajaan pincang ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Jumaat, media melaporkan Farhash Wafa menuntut Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta atas dakwaan memfitnahnya.

Farhash Wafa selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co di Mahkamah Tinggi di sini, pada 22 Januari lepas, dengan menamakan Wan Ahmad Fayhsal sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media, Farhash Wafa mendakwa Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu telah membuat kenyataan fitnah terhadapnya pada sidang media di pekarangan Bangunan Parlimen, 14 November tahun lepas.

Dalam pada itu, menurut Wan Ahmad Fayhsal, beliau telah pun melantik peguam dan memasukkan kehadiran di mahkamah pada 19 Februari.

Artikel Berkaitan:

“Pembelaan saya akan difailkan sedikit masa lagi menurut jadual waktu yang ditetapkan mahkamah.

“Pembelaan saya akan menunjukkan tuntutan ini adalah tidak berasas sama sekali. Inilah sifat Kerajaan Madani hari ini di mana pendedahan pembangkang melalui laporan polis pun akan cuba disekat melalui saman sivil Mahkamah.

“Kes ini bukan kes baharu. Pada 14 November 2023 satu laporan polis telah dibuat dan saya telah membacakan laporan tersebut dalam satu sidang media di Parlimen Malaysia berkenaan tindak tanduk bekas SUPOL Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!