Perjuangan Aaron-Wooi Yik di Paris berakhir
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu buat lebih banyak kerja rumah bagi mencari jalan untuk mengalahkan juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Ia susulan kekalahan kedua berturut-turut kepada pasangan dari Korea Selatan itu.
Kali ini dalam saingan Terbuka Perancis apabila Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tewas dalam aksi suku akhir sebentar tadi.
Mereka kecundang 19-21, 16-21 dalam masa 43 minit pada aksi di Arena Porte de la Chapelle, Paris.
Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik tewas kepada Min Hyuk-Seung Jae dalam pertembungan suku akhir kejohanan Terbuka Malaysia Januari lepas.
Sebagai rekod, pasangan negara sekadar menang sekali ke atas gandingan lawan - Terbuka China sepanjang empat pertemuan lalu.
Kekalahan tersebut menyaksikan perjuangan pemain negara pada kejohanan itu berakhir selepas mereka menjadi wakil tunggal Malaysia yang mara ke kelompok lapan terbaik.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!