Pegawai kadet TLDM ditampar berkali-kali sebelum meninggal dunia - Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia melihat seorang pegawai berpangkat leftenan muda duduk di atas perut mendiang J. Soosaimanicckam dan menamparnya berkali-kali, sehari sebelum mangsa meninggal dunia.

Anas Hakimi Mat, 31, yang kini bekerja sebagai peguam berkata, pegawai berkenaan yang dikenali sebagai Leftenan Muda Ariff melakukan perbuatan itu terhadap pegawai kadet Soosaimanicckam, 27, semasa latihan kadet pada 18 Mei 2018.

"Kejadian itu berlaku pada hari Jumaat sehari sebelum dia mati pada 19 Mei 2018. Semasa kejadian, kami semua di hadapan dia dan melihat dia dipukul dan kami berbaris dalam posisi ‘push up’, hampir semua nampak apa reaksi pelatih.

"Seorang pegawai bernama Mejar Rahim datang ke tempat kejadian dan meredakan keadaan,” katanya.

Saksi plaintif keempat itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Zaid Malek mewakili S. Joseph selaku plaintif dalam samannya terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pertahanan dan 13 pihak lain sebagai defendan.

Menurut Anas, mendiang sering diasingkan daripada pelatih lain kerana dia berkali-kali memohon untuk dikecualikan daripada latihan atas alasan perubatan.

Semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb, Anas tidak bersetuju bahawa tujuan mendiang diasingkan dan diberi layanan kasar untuk memantapkan disiplin dan semangat juang untuk negara.

Katanya, mendiang seorang yang berbadan besar dan kadangkala mempunyai masalah disiplin.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, mahkamah juga mendengar keterangan dua abang kandung mangsa yang juga saksi plaintif kedua dan ketiga iaitu J. Charles, 38, dan J. Calvin, 36.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Mei 2021, keluarga mangsa mendakwa defendan-defendan cuai dengan tidak memberikan rawatan kecemasan sewaktu mangsa rebah pada hari kejadian, selain cuai untuk memantau kesejahteraan serta kesihatan mangsa ketika sesi latihan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Soosaimanicckam yang merupakan Pegawai Kadet Graduan (PKG) disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut dan Mahkamah Koroner Ipoh tahun lepas memutuskan keputusan terbuka berhubung inkues bagi menentukan punca kematian pegawai kadet itu.

Koroner Ainul Shahrin Mohamad juga memutuskan punca kematian Soosaimanicckam yang meninggal dunia semasa menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut adalah disebabkan edema pulmonari.

Perbicaraan di hadapan Hakim Idah Ismail bersambung pada 17 April. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!