Mila Jirin beri inspirasi kepada wanita
SHAH ALAM - Meskipun menghadapi kesukaran untuk bertahan dalam bidang perniagaan terutama ketika Covid-19, namun ia tidak memutuskan semangat penyanyi dan usahawan, Norsyarmilla Jirin atau lebih dikenali sebagai Mila Jirin untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat bagi memberi inspirasi terhadap wanita.
Wanita berusia 36 tahun itu berkata, beliau bekerjasama rapat dengan beberapa pusat zakat seperti di Selangor dan Johor Bahru untuk membuat program membantu golongan yang memerlukan.
“Kita sebenarnya hidup untuk memberi manfaat kepada manusia lain dan begitu juga dengan saya yang akan menyalurkannya semula kepada pusat zakat untuk membantu orang lain melalui keuntungan perniagaan.
“Saya mempercayai mereka (pusat zakat) dan suka begini kerana lebih telus dan sumbangan tersebut sampai kepada pihak yang betul-betul memerlukan kerana mereka sudah ada senarai nama berkaitan.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah, apa yang saya lakukan adalah untuk memberi inspirasi kepada wanita bahawa mereka juga boleh memberi sumbangan buat masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, menurut Mila Jirin, sejumlah bayaran zakat yang dikeluarkan turut dibuat untuk membantu golongan sahabat artis terutamanya yang menghadapi kesempitan hidup menerusi konsep wakalah seterusnya menghayati hikmah berzakat.
Tambahnya, dalam konteks masyarakat lebih kecil, beliau turut menitikberatkan aspek kebajikan pekerjanya seramai 250 orang untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Mila Jirin berkata, beliau memperkenalkan program Kembali Ke Sekolah dengan memberikan wang tunai sebanyak RM500 bagi setiap anak dalam kalangan pasukannya untuk membantu meringankan beban mereka pada musim persekolahan nanti.
“Mereka semua bukan semata-mata pekerja tetapi menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan 250 keluarga ini dapurnya sentiasa berasap pada setiap bulan.
“Saya buat program ini sebenarnya dah lama yang mana saya membantu mereka dengan memberi RM500 bagi membuat persediaan anak-anak untuk berbelanja, bayar yuran dan membeli pakaian persekolahan.
“Kalau anak mereka ada lima orang, saya beri RM2,500. Tiada masalah kerana ia tanggungjawab saya sebagai majikan untuk membantu orang-orang di sekeliling saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mila Jirin berharap agar sumbangan yang diberikan itu mampu memberikan peluang dan kebaikan untuk membangunkan masyarakat serta negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!