Deposit enam bulan gaji dulu

Mohd Yusoff
Mohd Yusoff
A
A
A

KEJUARAAN Liga MBSB Bank 2024/25 semakin kompetitif apabila pemain import dibenarkan memperkuatkan pasukan bagi saingan liga yang menyingkap tirai awal Mei depan.

Bagaimanapun Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan semua pasukan yang berhasrat mendaftarkan pemain import perlu mematuhi garis panduan serta peraturan ditetapkan AFL, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“AFL tetapkan syarat-syarat tambahan yang lebih ketat antaranya kategori umur, deposit enam bulan gaji yang perlu disediakan serta pengenalan syiling gaji bagi pendaftaran pemain import.

“Setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftarkan maksimum dua pemain import berumur 18 hingga 21 tahun sahaja. Pemain-pemain import ini hanya boleh didaftarkan bermain di Kejuaraan Liga MBSB Bank sehingga mereka berumur 23 tahun sahaja.

"Jika mereka betul-betul bagus, berkemungkinan ada pasukan di atas (Liga Super) akan mendapatkan khidmat mereka. Jika tidak mereka harus pulang ke negara asal, ” katanya pada Mesyuarat Kali Pertama Tahun 2024 Ahli Lembaga Pengarah AFL di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Mohd Yusoff berkata, pengenalan pemain import dalam Kejuaraan Liga MBSB Bank 2024/25 bertujuan meningkatkan nilai komersial saingan yang kini memasuki edisi kedua penganjuran tahun ini.

Pada dasarnya menurut Mohd Yusof, AFL tidak memberi tekanan kepada mana-mana pasukan untuk mendaftar pemain import kerana ianya bersifat tidak wajib dan bergantung kepada kedudukan kewangan masing-masing.

“Keputusan membenarkan khidmat pemain import ini akan memberi pendedahan awal kepada semua pasukan Kejuaraan Liga MBSB Bank yang mempunyai peluang untuk dipromosikan ke Liga Super pada musim hadapan. Ianya juga boleh merapatkan jurang apabila bertembung dengan pasukan Liga Super di ‘cross-over competition’ (Piala FA & Piala Malaysia).

Artikel Berkaitan:

“Deposit enam bulan gaji pemain import wajib disediakan kepada AFL sebagai salah satu syarat utama sebelum pemain ini disahkan pendaftaran. Jika syarat ini pun tidak boleh dipenuhi, usah bermimpi untuk menggunakan khidmat pemain import.

“Deposit ini penting untuk kita pastikan kes tunggakan pembayaran gaji dapat dikurangkan di samping memberi jaminan serta menarik minat pemain import muda yang berkualiti untuk bermain di sini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff turut memaklumkan sembilan pasukan telah disahkan secara rasmi untuk bertanding di Kejuaraan Liga MBSB Bank 2024/25 selepas SAINS FC dan Sarawak United menarik diri.

Pasukan lain diberi tempoh selama 14 hari untuk melengkapkan pengesahan mereka.

Katanya lagi, sebagai langkah untuk mengekalkan jumlah penyertaan 14 pasukan yang sama seperti musim lalu, Ahli Lembaga Pengarah AFL turut menerima beberapa permohonan pasukan baharu untuk bermain di Kejuaraan Liga MBSB Bank musim ini termasuk kelab Kelantan FC (Liga Super) dan Machan FC (Piala Al-Ikhsan).

“Kesemua pasukan ini juga diberi tempoh yang sama untuk melengkapkan pengesahan penyertaan mereka,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!