Layak ke Paris 2024 sasar terbesar Azeem

Azeem menjadikan Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai sasaran terbesarnya tahun ini sekali gus mencapai impian meraih debut pada temasya sukan berprestij dunia itu.
Azeem menjadikan Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai sasaran terbesarnya tahun ini sekali gus mencapai impian meraih debut pada temasya sukan berprestij dunia itu.
A
A
A
JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menjadikan Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai sasaran terbesarnya tahun ini sekali gus mencapai impian meraih debut pada temasya sukan berprestij dunia itu.

Penuntut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat (AS) itu yang mencipta sensasi pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022 di Cali, Colombia dan Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lepas berkata, keinginannya adalah untuk terus mengharumkan nama negara.

"Saya mohon agar semua peminat tanah air mendoakan saya berjaya layak ke Olimpik.

"Itu adalah sasaran terbesar saya tahun ini untuk terus mengharumkan nama negara dan meletakkan nama Malaysia di persada dunia,” kata pemenang pingat gangsa 100 meter (m) lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 ketika dihubungi Bernama.

Atlet yang akan menginjak usia 20 tahun pada bulan depan itu merancang akan memulakan misi layak ke Paris 2024 yang dijadual berlangsung Julai ini, sambil menjalani ibadah puasa.

Selepas membuat persediaan rapi termasuk menyertai beberapa kejohanan di dalam dewan, beliau berharap tiada halangan untuk bertanding dalam kejohanan terbuka Yellow Jacket Invite di Georgia Tech, Atlanta pada 15 dan 16 Mac ini.

Kejohanan itu merupakan pertandingan di luar dewan pertama yang akan disertainya tahun ini.

Beliau berkata, bertanding pada minggu pertama Ramadan ialah perancangannya, selepas itu akan menumpukan perhatian kepada latihan selain menjalani ibadah puasa di perantauan.

"Kenapa saya dan jurulatih memilih untuk bertanding pada minggu pertama Ramadan adalah kerana saya yakin kondisi badan saya masih dalam keadaan yang terbaik walaupun sudah mula berpuasa untuk beberapa hari.
Artikel Berkaitan:


"Sekarang, saya ada baki lebih kurang enam hingga lapan kejohanan untuk cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris, baik melalui merit ranking dunia atau standard qualifying mark iaitu 10 saat (s),” kata atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu.

Cabaran Azeem pada kejohanan di Atlanta ialah merakam masa di bawah 10.20s yang tidak begitu jauh daripada catatan musim terbaiknya tahun lepas iaitu 10.11s dan rekod kebangsaan miliknya 10.09s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022.

Sebagai rekod, Azeem menduduki tempat kelima dalam final 100m Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand dengan catatan 10.25s dan mara sehingga pusingan pertama 100m Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary.

Bulan lepas, Muhammad Azeem merekodkan 6.55s dalam acara 60m pada sebuah kejohanan di dalam dewan di Clemson Indoor Track & Field Complex, South Carolina.

Bekas pemegang rekod kebangsaan Watson Nyambek merupakan atlet negara terakhir bersaing dalam acara 100m lelaki di Olimpik iaitu pada edisi Atlanta 1996 dan Sydney 2000, manakala bekas raja pecut Asia Tenggara Nazmizan Muhammad menjadi wakil negara terakhir beraksi dalam acara 200m lelaki pada edisi Athens 2004. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!