Pemilu 2024: Pengundian semula di Kuala Lumpur esok

Pengundian semula akan bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang waktu Malaysia.
Pengundian semula akan bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang waktu Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pengundian semula Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu 2024) bagi seluruh kawasan Kuala Lumpur akan diadakan pada Ahad, 10 Mac di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, demikian menurut catatan di Facebook Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Menurut poster yang dimuat naik dalam hantaran itu, pengundian semula akan bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang waktu Malaysia.

Proses pengundian semula akan melibatkan 22 Tempat Pemungutan Suara (TPS) dan 120 Kotak Suara Keliling atau peti undi bergerak.

"KBRI (Kedutaan Besar Republik Indonesia) telah menerima pemberitahuan rasmi dari KPU Pusat Jakarta berkaitan Pemungutan Suara Ulang Pemilu 2024 di Kuala Lumpur.

"KBRI Kuala Lumpur bukan penyelenggara Pemilu 2024, Penyelenggara Pemilu adalah KPU (Komisi Pemilihan Umum) dan Bawaslu (Badan Pengawas Pemilihan Umum),” demikian menurut pejabat kedutaan itu dalam catatan Facebooknya.

Sementara itu, KPU Republik Indonesia dalam hantaran di laman Facebooknya memetik kenyataan Ketua KPU Hasyim Asy’ari berkata Bawaslu telah mencadangkan proses pengundian semula dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur.

Laporan media Indonesia menyatakan pengundian semula itu akan melibatkan 62,217 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,372 individu yang akan mengundi di WTC dan 19,845 individu melalui peti undi bergerak di 120 lokasi.

Pengundian semula dilakukan selepas Polis Indonesia mendapati terdapat unsur jenayah pelanggaran pilihan raya membabitkan manipulasi data dan pemalsuan yang dilakukan oleh tujuh Panitia Pemilihan Luar Negeri Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Tujuh individu daripada panitia telah ditetapkan sebagai suspek dalam kes itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!