Tarik pelabur asing: Mantapkan dulu prasarana asas di Kelantan
KOTA BHARU - Banyak lagi faktor lain yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri Kelantan untuk menarik pelabur asing ke negeri itu dan bukannya hanya melihat kepada keperluan pelabuhan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, perkara prasarana asas seperti bekalan air perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh kerajaan negeri bagi membuka ruang kepada pelabur masuk melabur di Kelantan.
“Tidak dinafikan kemudahan pelabuhan penting dalam menarik pelabur asing namun skop itu masih terlalu jauh.
“Kerajaan negeri perlu tumpu untuk memastikan prasarana asas dinaik taraf dan dimantapkan terlebih dahulu seterusnya perlahan-lahan akan wujud usaha ke arah pembinaan pelabuhan seiring perkembangan kemasukan pelabur itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Festival Srikandi di Jubli Perak di sini, pada Sabtu.
Beliau turut mengambil contoh lokasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa yang satu ketika dahulu terdapat banyak kilang yang dibuka pelabur di negeri ini.
“Kerajaan perlu meneliti kenapa pelabur boleh ‘lari’, kerana ketika pelabur datang dulu, Kelantan juga tidak ada pelabuhan.
“Selain itu, mereka juga perlu main peranan untuk memastikan projek-projek strategik pembangunan negeri seperti Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan jaringan perhubungan jalan raya disegerakan atau menepati masa sekali gus dapat menarik lebih ramai pelabur,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan Kelantan mengakui kesukaran untuk menarik pelabur asing ke negeri itu kerana tidak mempunyai pelabuhan dan jaringan perhubungan yang belum sempurna seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama, Lebuh Raya Kuala Krai dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Exco Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, perkara itu dikenal pasti oleh pihak kerajaan negeri daripada maklum balas yang diterima daripada pihak pelabur asing.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!