Periksa kenderaan percuma mulai esok
SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menganjurkan program pemeriksaan kenderaan secara sukarela percuma kepada semua pemilik kenderaan persendirian sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail berkata, kempen #drivesafenoregrets bertujuan membantu pemilik dan pemandu kenderaan memastikan kenderaan mereka selamat dipandu di jalan raya.
Menurutnya, kempen tersebut dijalankan selama 11 hari bermula esok sehingga 21 Januari ini di semua cawangan Puspakom (kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang yang dikhaskan untuk kenderaan berat sahaja).
“Selain pemeriksaan di pusat pemeriksaan, kami turut menyediakan unit bergerak yang akan menjalankan pemeriksaan kenderaan sukarela percuma di beberapa tempat terpilih.
“Lokasinya termasuk Taman Pudu Ulu, Kuala Lumpur (11 Januari); Dataran Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi (14 Januari) dan Tesco Extra Ampang pada 18 Januari ini.
“Unit bergerak turut akan menjalankan pemeriksaan percuma di Insa Dunia Food Court Car Park, Bukit Mertajam Pulau Pinang pada 22 Januari dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Alor Setar, Kedah pada 23 Januari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shukor berkata, perkhidmatan percuma ditawarkan termasuk bacaan dan laporan prestasi 25 item pemeriksaan kenderaan iaitu termasuk keadaan tayar, gelincir sisi, suspensi, pelepasan asap, pemeriksaan bahagian atas dan bawah kenderaan, pemeriksaan cermin gelap dan lain-lain lagi.
Menurutnya, laporan pemeriksaan boleh digunakan sebagai rujukan pemilik kenderaan sebelum atau selepas melakukan penyelenggaraan kenderaan di bengkel.
“Bayaran sebenar pemeriksaan kenderaan secara sukarela ini adalah RM50 bagi sebuah kenderaan. Namun dalam tempoh kempen berlangsung, pemeriksaan ini adalah percuma.”
“Puspakom ingin membantu pemilik kenderaan untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan secara menyeluruh melalui pemeriksaan dengan menggunakan peralatan pemeriksaan yang mengikut standard yang sama diguna pakai negara lain,” katanya.
Katanya, segala pertanyaan mengenai pemeriksaan kenderaan sukarela percuma boleh dibuat dengan berhubung di talian 1-800-88-6927 atau layari laman web www.puspakom.com.my atau Facebook Puspakom.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!