120 pelacur, GRO ditahan di premis hiburan di Kuantan
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seramai 151 individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Khas di 17 premis hiburan di sekitar daerah ini pada malam, Jumaat.
Mereka yang ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di dalam negara ini dalam operasi pada jam 11 malam itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, daripada jumlah itu, 120 wanita dipercayai pelacur dan gadis pelayan pelanggan (GRO) turut ditahan.
"Mereka ini ialah 103 wanita warga Thailand, dua warga Laos dan 11 lagi wanita warga Vietnam manakala dua wanita masing-masing dari Indonesia dan Indonesia. Selain itu, lima lelaki warga Myanmar, seorang warga Indonesia, 11 warga Bangladesh dan tiga lelaki warga China ditahan. Mereka ini berusia antara 19 hingga 49 tahun.
"Kita turut menahan 11 lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis yang berumur 25 hingga 46 tahun. Penahanan mereka dibuat bagi bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat JIM Pahang di Indera Mahkota pada Sabtu.
Serbuan itu, melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Pahang, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), JIM Perlis, JIM Perak dan JIM Negeri Sembilan.
Jafri Embok memaklumkan hasil semakan awal mendapati 94 individu memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah.
Ujarnya, sementara selebihnya tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.
Beliau menambah, pihaknya turut merampas kondom, dokumen premis, rekod perniagaan, kunci premis dan peralatan seks.
"Rampasan juga membabitkan 95 pasport pelbagai negara (Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.
"Selain itu, wang tunai berjumlah RM7,880, sebanyak 21 unit telefon bimbit, gel pelincir, gelang tip, tuala dan peralatan kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.
Menjawab mengenai modus operandi, Jafri Embok berkata pusat hiburan terlibat telah melakukan promosi wanita warga asing dengan menggunakan foto melalui aplikasi media sosial seperti Telegram, WhatsApp dan Wechat.
Menurutnya, wanita dipilih pelanggan akan diuruskan oleh penjaga premis yang didalangi warga tempatan ke bilik disediakan dengan kadar bayaran tertentu.
“Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan di premis antara RM300 hingga RM400 bergantung kepada pakej yang ditawarkan.
“Transaksi bayaran yang digunakan bagi urusniaga ini adalah secara dalam talian atau tunai sebelum wanita warganegara asing tersebut diserahkan kepada pelanggan,” katanya.
Jafri Embok berkata, kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kemudiannya dibawa ke JIM Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, 11 lelaki warganegara tempatan yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam masa sama, seramai 40 individu warganegara tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!