26,154 unit Residensi Wilayah siap dibina

Dr Zaliha pada Majlis Penyerahan Kunci Kediaman Mampu Milik Residensi SkyAwani 5, Kuala Lumpur.
Dr Zaliha pada Majlis Penyerahan Kunci Kediaman Mampu Milik Residensi SkyAwani 5, Kuala Lumpur.
A
A
A

SEBANYAK 26,154 unit melibatkan 43 projek Residensi Wilayah (RW) telah siap dibina sepenuhnya sehingga Februari 2024 bagi merealisasikan impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki kediaman sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, manakala sebanyak 23,441 unit melibatkan 27 projek lagi masih dalam fasa pembinaan dan dijangka siap tahun ini sehingga 2027.

Katanya, menerusi program ini, kerajaan dengan kerjasama syarikat pemaju perumahan melalui kaedah subsidi silang berusaha menyediakan kediaman dengan harga tidak melebihi RM300,000 seunit.

"Meskipun Residensi SkyAwani 5 ini adalah sebuah kediaman mampu milik yang dijual dengan harga RM300,000 namun ia merupakan sebuah kediaman yang dilengkapi dengan kemudahan bertaraf kondominium.

"Dengan adanya kualiti perumahan seperti ini, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beberapa isu di Kuala Lumpur seperti kekurangan penawaran rumah mampu milik yang berkualiti dan mengurangkan kesesakan lalu lintas ketika waktu kemuncak bagi penduduk bekerja di ibu kota," katanya.

Dr Zaliha bergambar bersama pembeli Residensi SkyAwani 5 di Residensi SkyAwani 5, Kuala Lumpur.
Dr Zaliha bergambar bersama pembeli Residensi SkyAwani 5 di Residensi SkyAwani 5, Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Kediaman Mampu Milik Residensi SkyAwani 5 di sini pada Sabtu.

Dr Zaliha menyerahkan kunci kepada 20 orang pembeli Residensi SkyAwani 5.

Artikel Berkaitan:

Keseluruhannya, sebanyak 615 unit kediaman di residensi berkenaan yang dibina di atas tanah berkeluasan 2.06 ekar.

Tambah Dr Zaliha, difahamkan, syarikat SkyWorld telah lama terlibat dalam Program Residensi Wilayah iaitu bermula dengan SkyAwani I dan kini yang kelima.

"Selain itu, SkyAwani 5 melakar sejarah apabila menjadi perumahan mampu milik pertama yang menyediakan stesen pengecas EV untuk kemudahan penghuninya," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Skyworld Group, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, SkyWorld merupakan sebuah syarikat pembangunan yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat.

"Kami telah menyediakan lebih 7,000 unit rumah dan sejak projek pertama, kami akan mewajibkan setiap pembangunan akan melalui penilaian standard piawaian industri yang tegas Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Pihak CIDB mengesahkan skor QLASSIC Residensi Wilayah SkyAwani 5 adalah yang tertinggi untuk kategori rumah mampu milik," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!