Sindiket seludup benih kerang guna dron, upah tonto

Pegawai Jabatan Perikanan Selangor menunjukkan antara anak kerang yang dirampas menerusi serbuan dan operasi dijalankan baru-baru ini.
Pegawai Jabatan Perikanan Selangor menunjukkan antara anak kerang yang dirampas menerusi serbuan dan operasi dijalankan baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan dron antara taktik digunakan sindiket penyeludupan benih dan anak kerang di beberapa lokasi sekitar Selangor bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, dron itu dipercayai digunakan untuk memantau pergerakan pihak berkuasa yang menjalankan penguatkuasaan.

"Perkembangan teknologi semasa turut dimanfaatkan kumpulan ini dalam menjalankan kegiatan berkenaan dengan menggunakan dron.

Noraisyah
Noraisyah

"Walaupun ia menyukarkan ketika operasi dijalankan, namun dengan kecekapan anggota terlibat tindakan penguatkuasaan tetap berjalan dengan lancar," katanya kepada Sinar Harian.

Noraisyah berkata, selain itu peranan kumpulan tertentu yang bertindak sebagai tonto antara cabaran dihadapi Jabatan Perikanan Selangor dalam menjalankan operasi membanteras kecurian benih kerang.

"Kita percaya ada sindiket yang bertindak mengupah tonto yang mana berperanan menjadi mata dan telinga pihak sindiket ini.

"Setakat ini, tiada sebarang tindakan agresif yang berlaku ketika penugasan dijalankan, namun setiap pelaksanaan kita laksanakan dengan perancangan rapi bagi memastikan operasi berjalan lancar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Noraisyah, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan rondaan di laut serta darat bagi mengekang kes kecurian benih kerang.

Antara peralatan dipercayai digunakan untuk menangguk kerang secara haram.
Antara peralatan dipercayai digunakan untuk menangguk kerang secara haram.

"Tindakan penguatkuasaan termasuk melibatkan kerjasama pelbagai agensi turut digerakkan secara berterusan.

"Selain itu, masyarakat turut memainkan peranan penting menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!