Penipuan pekerjaan: Mangsa kemungkinan jadi ejen sindiket
KUALA LUMPUR - Polis masih menjalankan siasatan berhubung kemungkinan terdapat mangsa penipuan pekerjaan yang diselamatkan berperanan sebagai ejen sindiket bagi merekrut individu di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah menjalankan saringan melibatkan beberapa individu yang diselamatkan dari Myanmar baru-baru ini.
"Di lapangan terbang ketika itu, siasatan dan saringan telah dijalankan dan hasilnya kita dapati ada antara mereka yang pernah keluar ke negara lain dalam konteks lebih kurang sama.
"Siasatan berdasarkan saringan dijalankan mendapati jawapan yang diberikan itu lebih kurang sama, seolah-olah mereka telah dilatih untuk berikan jawapan berkenaan ketika disoal pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi Libat Urus Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama masyarakat di Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail di sini pada Sabtu.
Katanya, berdasarkan perkara itu, polis tidak menolak kemungkinan ada antara mereka ini menjadi ejen kepada sindiket ini.
"Masa sama kita turut melakukan pemantauan pergerakan mereka ini, hasilnya ada yang telah kembali ke negara yang terlibat dalam penipuan pekerjaan ini.
"Kita telah menghantar nota taklimat kepada pihak Kementerian Dalam Negeri, difahamkan ia dalam proses penilaian berkaitan prosuder mengeluarkan dokumen perjalanan, berkaitan perkara itu terpulang kepada pihak kementerian untuk mengkajinya," katanya.
Tambah Mohd Shuhaily, setakat ini pihaknya mengesan 16 mangsa penipuan pekerjaan yang diselamatkan sebelum ini telah keluar negara.
"Selalunya mereka yang mana menjadi mangsa akan trauma untuk keluar negara, dan kita lihat sekiranya mereka ini berada di luar negara dan pulang tanpa sebarang masalah, bermaksud tiada apa kesalahan dilakukan.
"Bagaimanapun sekiranya mereka ditahan di luar negara berkaitan terlibat dalam kegiatan penipuan, ini menunjukkan pandangan terhadap mereka ini terlibat adalah tepat, dan kita akan memantau secara dekat berkaitan perkara ini," katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan seramai 326 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara berjaya diselamatkan dari tahun 2021 hingga 23 Februari tahun ini manakala 133 orang masih terkandas di luar negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kebanyakan mangsa dibawa ke negara-negara seperti Kemboja, Myanmar, Thailand dan Laos.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!