LKAN 2022: Pengurusan pelaksana Felda gagal jayakan pelan pemulihan
SEJAK tahun 2018, pelbagai inisiatif dan sokongan daripada kerajaan untuk membantu memulihkan Felda.
Bermula dengan Kertas Putih Felda pada 2019, sukuk RM9.9 bilion, penghapusan hutang peneroka RM8.3 bilion, jaminan kerajaan ke atas sukuk RM9.9 bilion, dan banyak lagi bantuan yang diumumkan setiap kali hari peneroka.
Ini adalah untuk membantu pengurusan Felda mengurus dan menjaga hal ehwal peneroka serta warganya.
Jika semua nilai bantuan dan sokongan kerajaan ini dijumlahkan, ia boleh dianggarkan lebih RM20 bilion dalam tempoh lima tahun.
Namun begitu, jika dilihat kepada Laporan Ketua Audit Negara tahun 2022, semua bantuan dan sokongan daripada kerajaan ini tidak dapat membantu memulihkan Felda seperti yang kerajaan dan warga peneroka harapkan.
Pewujudan Task Force Felda telah merangka pelan yang baik untuk memulihkan Felda dalam jangka pendek dan panjang.
Pengambilalihan semula FGV dan penstrukturan hutang, Felda boleh kembali mampu menjadi agensi yang tidak bergantung kepada kerajaan seperti dahulu.
Tetapi sehingga hari ini, semua langkah yang dirangka oleh Task Force Felda gagal dilaksanakan seperti pengambilalihan FGV dan kerugian RM1 bilion yang dicatatkan LKAN 2022 menunjukkan pelan penstrukturan kewangan Felda juga tidak berjaya.
Ini kerana, kakitangan pengurusan pentadbiran Felda gagal melaksana apa yang telah digariskan oleh Task Force.
Polisi dan dasar yang baik, tanpa pelaksana yang cekap dan berdedikasi, pasti tidak akan berjaya.
Hal ini bukanlah masalah daripada kerajaan mana atau siapa yang memerintah. Tetapi ia adalah masalah kecekapan dan kompetensi kakitangan Felda sendiri kerana walaupun telah beberapa kali tukar kerajaan, menteri dan pengerusi, ditambah dengan berbilion bantuan dan sokongan, prestasi Felda dilihat tidak berubah.
Pengurusan Felda sepatutnya melaksanakan reformasi pengurusan dengan mengurangkan perbelanjaan operasi dan defisit serta meningkatkan pendapatan.
Sudah tiba masanya satu tindakan yang berani serta 'political will' yang besar untuk membuat perubahan, ‘reset dan restart secara total'.
Penstrukturan pentadbiran tertinggi Felda dan apa sahaja dasar serta model yang difikirkan perlu untuk pasukan pelaksana yang benar-benar kompeten demi mengubah haluan dan zaman suram Felda yang mempunyai kekuatan tiga juta warganya dan hampir satu juta hektar tanahnya.
Warga peneroka itu sendiri juga perlu muafakat kerana Felda dibina dengan muafakat dan berjaya kerana muafakat warganya untuk keluar dari kemelut yang tidak nampak kesudahannya ini.
Warga peneroka pernah membuktikan bahawa mereka adalah rakyat yang mandiri dan berdikari apabila lebih 20 tahun tanpa peruntukan daripada kerajaan.
* Rauzan Esa ialah generasi kedua dan ketiga Felda, Johor.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!