9 lelaki leka bersembang, tidak solat Jumaat ditahan
KUALA TERENGGANU - Sembilan lelaki termasuk lima pelajar sekolah ditahan berdekatan sebuah masjid di sini selepas disyaki tidak menunaikan solat Jumaat.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Khairul Azizi Idris berkata, mereka ditahan dalam operasi dijalankan bahagian penguatkuasaan dengan kerjasama unit penguatkuasaan daerah kira-kira jam 2 petang pada Jumaat.
Menurutnya, tangkapan terhadap kesemua lelaki berusia 14 tahun hingga 37 tahun itu dilakukan oleh pegawai penguat kuasa syariah wanita yang telah berada di lokasi berkenaan bermula jam 1.30 tengah hari.
"Lokasi tangkapan ini dilakukan berdekatan dengan masjid tersebut setelah pihak kami menerima aduan daripada orang awam.
"Ketika ditahan, masing-masing didapati sedang bersembang," katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Sabtu.
Khairul Azizi memberitahu, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
"Lima pelajar sekolah berusia 14 tahun hingga 17 tahun dan empat lelaki berusia 23 hingga 37 tahun itu telah dibawa ke Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk tindakan lanjut.
"Mereka dibebaskan dengan bon jaminan hadir ke mahkamah.
"Kita nasihatkan orang ramai supaya dapat menjadikan kes seumpama ini sebagai pengajaran dan tidak terlibat dalam kesalahan jenayah syariah," ujarnya.
Berdasarkan enakmen kesalahan jenayah syariah itu, mana-mana lelaki mukallaf yang tidak menunaikan solat Jumaat kecuali terdapat keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh hukum syarak adalah melakukan kesalahan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!