PN perlu perkukuh capaian media sosial, tradisional - Wan Saiful
SHAH ALAM - Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) perlu memperkukuhkan capaian penerangan menerusi media sosial di samping meneruskan usaha mendapatkan liputan daripada media tradisional.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan, ketika ini setiap penerangan yang dilakukan golongan itu masih belum cukup efektif untuk menyebar luaskan inisiatif kepada rakyat.
"Ada yang merasakan seolah-olah kita tidak bekerja kerana maklumat mengenai kerja tidak sampai kepada mereka.
"Momentum rakyat semakin kuat bersama PN dan kita perlu terus membina momentum terutama ke arah PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16).
"Penyampaian maklumat yang kerap dan tepat adalah amat penting dalam usaha membina kekuatan itu," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.
Dalam pada itu Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu memaklumkan, beliau turut menggesa pemimpin tertinggi PN untuk melipatgandakan usaha penerangan yang berkesan kepada rakyat ketika Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN yang berlangsung di ibu negara.
"Bagi saya sebenarnya wakil-wakil rakyat PN amat giat menjaga kebajikan dan membawa suara rakyat ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
"(Namun) PN juga mesti memperbanyakkan program menyantuni aktivis media sosial agar ada rasa kebersamaan yang jitu," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!