Lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika cari lokan
TAWAU - Seorang lelaki hilang selepas dikhuatiri dibaham buaya ketika mencari lokan di Sungai Kalabakan di Kampung Mangga Kalabakan di sini pada Sabtu.
Mangsa, Asmadi Harun, 57, dikatakan mencari lokan bersama dua lagi ahli keluarganya di hulu sungai tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang.
"Menurut pengadu, mangsa dibaham buaya ketika melakukan aktiviti mencari lokan di hulu sungai bersama dua ahli keluarganya.
"Jarak lokasi kejadian sejauh 89 kilometer dari BBP Tawau dan setakat ini hanya Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berada di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada malam Sabtu.
Tambah beliau, pasukan BBP Tawau akan ke lokasi pada Ahad bagi mendapatkan maklumat dan operasi selanjutnya.
"Setakat ini, pihak kami belum menerima maklumat yang tepat dan anggota bomba akan ke lokasi esok manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan esok.
"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!