'Ibarat balik kampung' - Sikh Izhan
SIKH Izhan Nazrel Sikh Azman bertekad mempamerkan persembahan terbaik selepas menyarung jersi Penang FC secara pinjaman daripada Selangor FC untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Menurutnya, perpindahannya ke Penang itu umpama 'balik kampung' dan menjadi motivasi terbaik buatnya untuk tampil memukau bersama pasukan negeri kelahirannya itu.
Penang FC yang sebelum ini telah berjaya mengikat Muhammad Khairu Azrin Khazali dan Muhammad Nabil Ahmad Latpi terus menguatkan pasukan dengan membawa masuk penjaga gol muda itu yang berasal dari Seberang Jaya, Perai untuk membantu skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Sikh Izhan yang sebelum ini dipinjamkan kepada pasukan Negeri Sembilan FC pada musim lalu, sekali lagi dieksport keluar secara pinjaman oleh Selangor FC pada musim 2024-2025.
“Sudah semestinya saya akan memberikan yang terbaik memandangkan impian saya untuk beraksi dengan kelab yang saya sudah lama impikan untuk beraksi.
“Ibarat pulang ke kampung, saya pasti akan memberikan yang terbaik kepada pasukan untuk membanggakan penyokong Penang FC,” katanya.
Dalam pada itu, penjaga gol berusia 21 tahun ini sekali lagi mendapat kepercayaan jurulatih Kim Pan Gon untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya.
“Saya optimis dengan peluang yang diberikan jurulatih kebangsaan, dan bersama-sama Ahmad Syihan Hazmi dan Muhammad Azri Ab Ghani adalah satu peluang untuk saya sentiasa belajar bersama-sama dengan mereka,” katanya.
Skuad Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan ketiga dan keempat kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat pada 21 Mac dan di Bukit Jalil pada 26 Mac.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!