Penduduk Palestin puasa bersama bom
SHAH ALAM - Malaysia akan cuba menjalinkan kerjasama dengan Pusat Zakat Al Azhar dalam usaha untuk mempercepatkan bantuan sampai kepada rakyat Palestin bagi meringankan kesengsaraan mereka menjelang Ramadan.
Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, difahamkan melalui Al Azhar bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat ke negara bergolak itu.
Katanya, suasana di Palestin sekarang sangat tidak menentu, sebanyak 3,000 trak yang dipenuhi dengan barangan bantuan tersadai ekoran tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan.
"Kalau kita boleh kerjasama dengan Al Azhar, insya-ALLAH nampak ada cahaya di hujung terowong untuk kita hantar bantuan awal iaitu dalam tempoh seminggu.
"Paling penting sekarang bantuan makanan, ubat-ubatan dan khemah. Saya jangkakan pihak kedutaan Malaysia di Mesir Dan Wisma Putra juga akan percepatkan serta permudahkan proses untuk penghantaran," jelasnya kepada Sinar Harian.
Tambah Syed Ibrahim, dari segi barang keperluan, banyak yang telah dihantar dan terkumpul namun itu hanya dua bulan lepas.
"Mungkin pada ketika itu peperangan tidak seteruk sekarang, keperluan pun sedikit berbeza dari segi ubat. Contohnya ubat bius dan antiseptik.
"Sekarang ubat bius tiada, rakyat Palestin jahit luka tidak bius. Jadi ubat-ubatan sebegitu perlu disalurkan segera," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa khemah besi tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke kawasan penempatan rakyat Palestin.
Katanya, syarat tersebut telah ditetapkan oleh pihak Israel dan perlu dipatuhi.
"Dekat sana semua bangunan termasuk rumah hancur maknanya perlu ada khemah.
"Jadi bila ada barangan macam ini kita kena faham sekatan yang dibuat oleh pihak Israel misalnya kalau khemah tidak boleh pakai besi, tidak dibenarkan jadi kena pakai kayu," jelasnya.
Syed Ibrahim memberitahu, bagi rakyat Palestin, Ramadan dengan bulan-bulan lain seakan tiada beza ekoran kesukaran untuk mendapatkan makanan setiap hari sejak konflik yang berlaku di negara bergolak itu.
Menurutnya, bukan kerana bulan Ramadan itu tidak mulia tetapi keadaan mereka yang sangat teruk dan sukar untuk digambarkan.
"Sekarang pun mereka susah untuk mendapatkan bekalan makanan malah ada anak-anak yang terpaksa menahan lapar dan lebih tragis meninggal dunia akibat kebuluran.
"Setiap hari bunyi bom dua atau tiga kali adalah perkara biasa buat rakyat Palestin. Bulan Ramadan kali ini saya yakin mereka mempunyai pegangan agama yang kuat, akan terus berpuasa tapi ini lebih kepada tuntutan agama," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!