Agensi keselamatan AS sertai siasat pesawat Ukraine di Iran
WASHINGTON - Agensi keselamatan pengangkutan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa ia telah menerima jemputan Teheran untuk menyertai siasatan berhubung nahas pesawat Ukraine yang terhempas di Iran, lapor agensi berita Rusia Sputnik.
"Pusat Operasi Respons Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) telah menerima pemberitahuan rasmi daripada Lembaga Siasatan Kemalangan Pesawat (AAIB) Pertubuhan Penerbangan Awam Iran berkaitan nahas penerbangan PS 752 Ukrainian International Airlines... NTSB telah melantik seorang wakil bertauliah dalam siasatan nahas itu yang membabitkan sebuah pesawat jenis Boeing 737-800.
"AAIB Iran merupakan agensi penyiasatan utama dan segala soalan mengenai siasatan nahas itu perlu diajukan kepadanya," menurut kenyataan agensi itu semalam.
Pesawat itu terhempas pada Rabu lalu berhampiran Tehran sejurus berlepas dan menyebabkan 176 orang terkorban. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!