Al-Quran sumber penguat hidup wanita
SELEPAS dinobatkan sebagai johan Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2022, kehidupan qariah, Sofizah Mousin berubah hampir 360 darjah.
Diri dan bakatnya mula menjadi sorotan ramai. Akui Sofizah, 35, pencapaian itu hadir bersama satu tanggungjawab besar.
“Kerja hakiki saya sebagai seorang guru Geografi. Selepas tamat bekerja, barulah saya boleh menghadiri jemputan program seperti di televisyen dan lain-lain.
“Selain perlu membahagikan masa dengan keluarga, pada masa sama, saya turut menjadi pempengaruh di media sosial dalam menarik ramai lagi mendalami ilmu al-Quran,“ katanya ketika sesi fotografi di Sinar Harian, Shah Alam baru-baru ini.
Kecintaan wanita berasal dari Kota Kinabalu, Sabah terhadap taranum al-Quran mula mekar sejak usianya 11 tahun dan semakin subur selepas berguru dengan Ustaz Anwar Ghazali serta Ustaz Yahya Daud di Kelantan.
Sesungguhnya, tempoh 24 tahun bukanlah satu perjalanan mudah dan singkat. Banyak pengorbanan perlu dibayar untuk mengecapi kejayaan pada hari ini.
Beliau kehilangan insan yang banyak memberi inpirasi iaitu bapanya, Mousin Sadiki ketika dirinya sedang sarat mengandung anak kedua, lebih tiga tahun lalu.“Saat itu, saya berjuang untuk Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor.
“Saya juga pernah diuji sakit tekak selama hampir lima bulan, di samping masalah kesihatan lain. Semua itu berlaku sebelum saya bertanding pada Majlis Tilawah Antarabangsa. Ia menjadi cabaran untuk saya berlatih,“ ceritanya.
Mengulas tentang peranan wanita pada hari ini, menurut Sofizah, tidak perlu dibandingkan dengan golongan lelaki, tugas sebagai kaum Hawa tidak kurang hebatnya terutama kepada anak bangsa, keluarga dan masyarakat.
Disebabkan itu, katanya, kaum Hawa perlu menjaga diri dan penampilan dari segi rohani, jasmani dan emosi masing-masing lantaran ALLAH SWT menciptakan wanita dengan sensitiviti yang tinggi dan bermain dengan emosi.
“Kepada para wanita, jadikanlah al-Quran sebagai manual dan penguat kehidupan. Dalam kitab suci itu, ada banyak cerita tentang wanita yang boleh dijadikan sebagai panduan contohnya dalam mendidik anak, bekerja mahupun menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.
“Pada masa sama, utamakan diri dan sentiasa memperbaiki diri serta jalankanlah tanggungjawab kita dengan sebaiknya merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah,“ ungkapnya.
- INFO
Nama: Sofizah Mousin
Jawatan: Guru Geografi di Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam, Selangor
Pencapaian: Johan Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 2022
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
@sinarharianonline Kehidupan qariah @lilysufy berubah hampir 360 darjah selepas mendapat johan Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2022. Katanya, sumber penguat hidup adalah al-Quran. Nak tahu lebih lanjut apa pesanan Sofiah kepada wanita, jom tonton video ini!
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!