Daripada lulusan undang-undang kepada CEO perbankan

Raja Teh Maimunah
Raja Teh Maimunah
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Lebih 30 tahun berada dalam bidang kewangan dan perbankan, tidak hairanlah Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dianggap ikon wanita baharu yang sedang meniti puncak industri.

Pernah menyertai Hong Leong Islamic Bank dan AmBank, Raja Teh Maimunah kini mengemudi satu lagi cabang baharu iaitu perbankan digital selaku Ketua Pegawai Eksekutif Islamik Bank Digital, AEON Bank.

Raja Teh Maimunah dianggap ikon wanita baharu yang sedang meniti puncak industri kewangan dan perbankan.
Raja Teh Maimunah dianggap ikon wanita baharu yang sedang meniti puncak industri kewangan dan perbankan.

“Apabila orang tanya saya bagaimana perjalanan sepanjang 30 tahun dalam karier, saya hanya boleh katakan jangan berputus asa, teruskan usaha kerana saya juga tiada pengalaman dalam perbankan kerana belajar bidang undang-undang.

“Saya mula serius dalam perbankan sejak kelahiran anak pertama pada 1996, dia yang memberi inspirasi untuk kerja kuat kerana sebagai ibu tunggal ketika itu, saya hanya fikirkan bagaimana untuk membesarkan dia dan berikan kehidupan selesa.

“Bagi saya setiap kejayaan dalam karier adalah pencapaian berpasukan dan yang memberi kesan apabila kami berjaya melancarkan platform perdagangan komoditi murabahah pertama di dunia iaitu Bursa Suq Al-Sila pada 2009.

“Platform berkenaan merupakan kejayaan besar bagi negara kerana menjadi yang pertama di dunia dan semua bank Islam di dunia boleh menggunakannya sebagai platform perdagangan untuk komoditi murabahah,“ kongsi Raja Teh Maimunah dalam satu temu bual khas bersama Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Sisipan khas sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024
Sisipan khas sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024

Diajak berbicara mengenai dunia perbankan, pemegang ijazah undang-undang dari University of East London itu mengakui, usahawan muda menjadi inspirasi kepadanya untuk membangunkan bank digital itu.

“Ini kerana apabila melihat kesulitan mereka mendapatkan bantuan kewangan, mereka tetap bersemangat meneruskan perniagaan.

“Ramai antara mereka yang tiada modal, tiada kedai tetapi mempunyai idea bernas. Lihat sahaja bagaimana usahawan muda seperti Khairul Aming yang mampu meraih jualan hingga jutaan ringgit dengan menjual sambal.

“Usahawan ini bermula dengan kecil-kecilan dan apabila meningkat naik, mereka boleh buka peluang pekerjaan kepada orang lain dan produk boleh dipasarkan ke luar.

“Oleh sebab itu saya dan pasukan membina bank digital ini supaya kami boleh menyumbang kepada perkembangan usahawan.

“Di mana saya sekarang dengan kejayaan melancarkan bank digital Islamik pertama di Malaysia adalah satu daripada cabaran terbesar dalam karier tetapi saya amat berbangga dengan pasukan sebab struktur bank ini berbeza dengan bank konvensional,“ katanya.

Sisipan khas Sinar Ahad sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024 yang menampilkan 10 Wanita Inspirasi Malaysia.
Sisipan khas Sinar Ahad sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024 yang menampilkan 10 Wanita Inspirasi Malaysia.


INFO

Nama: Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz

Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif Islamik Bank Digital, AEON Bank

Pencapaian: Pernah menjadi CEO dan Pengarah Urusan Hong Leong Islamic Bank, CEO Inovasi Digital dan Perbankan Transaksi, Kumpulan Hong Leong.

Pernah menjadi CEO AmInvestment Bank Bhd dan Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank

Dinamakan Wanita Ikon Malaysia 2017 pada Sidang Kemuncak Anugerah Ikon Wanita

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!