'Kalau ayah masih ada, hubungilah saya'
BAGAN DATUK - Seorang gadis yang akan melangsungkan perkahwinan pada Februari depan kini buntu untuk menjejaki bapa kandungnya yang terpisah sejak 11 tahun lalu.
Nabila Shahira Abdul Rashid, 26, berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan bapanya, Abdul Rashid Said termasuk pergi sendiri ke alamat terakhir bapanya namun gagal.
Menurutnya, hari bahagia dirancang pada 21 Februari depan sangat bergantung kepada bapa kandungnya itu yang kali terakhir bertemu ketika dia berusia 15 tahun.
"Sejak kecil saya tinggal bersama ibu saudara, Maimon Abas, 47, selepas ibu kandung meninggal dunia ketika saya berusia 3 tahun. Saya harap sangat dapat jumpa ayah.
"Memang saya ada pergi beberapa kali ke Kuala Lumpur cari ayah tapi tak jumpa. Kalau ayah masih ada, hubungilah saya," katanya kepada Sinar Harian.
Nabila yang kini tinggal di Kampung Sungai Tiang Baroh di sini berkata, dia dan bapanya tiada sebarang sengketa cuma memang sudah lama tidak berjumpa.
Katanya, dia mahu Abdul Rashid merestui perkahwinannya dan menjadi wali pada majlis pernikahan nanti.
"Sekiranya ada sesiapa yang mengenali dan mengetahui tentang ayah boleh menghubungi saya di talian 016-4370262 atau Maimon di talian 010-2012109," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!