Zaid ‘ajar’ Bersatu, Pas cara tarik sokongan bukan Melayu
SHAH ALAM - Parti politik Melayu cenderung untuk melakukan tugas yang mustahil dan kemudiannya mempersoalkan tentang kegagalan mereka.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim, ia dapat dilihat dengan beberapa tindakan pemimpin utama parti di negara ini.
Menurutnya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin misalnya, bercakap tentang mendapatkan lebih banyak sokongan daripada orang bukan Melayu.
“Ia agak mudah, ikuti cara (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Bolehkah tidak mengatakan saya orang Melayu terlebih dahulu? Beritahu rakyat Malaysia bahawa anda adalah bapa untuk semua kaum.
“Beritahu juga rakan anda, Gerakan untuk ‘terdengar’ seperti DAP, bercakap tentang meritokrasi, kedaulatan undang-undang dan pembaharuan.
“Katakan semua perkara ini sehingga mencapai kuasa. Tidak mengapa jika tidak melakukannya selepas pilihan raya. Cuma, beritahu mereka pembaharuan (yang akan dibuat) akan datang semasa penggal kedua anda. Rakyat Malaysia mudah lupa,” katanya dalam satu hantaran di X pada Ahad.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengakui masih banyak usaha perlu dibuat untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu menuju pilihan raya umum akan datang.
Justeru katanya, perkara tersebut diberikan penekanan dan menjadi salah satu daripada 20 resolusi yang diluluskan dalam Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional PN pada Sabtu.
Tambah Zaid, Muhyiddin juga perlu memberitahu pemimpin Pas bahawa orang bukan Islam adalah rakan mereka.
Pas katanya, perlu peka dengan hal-hal duniawi kerana orang bukan Melayu mementingkan ekonomi, pendidikan dan perniagaan.
“Jika Pas meneruskan misi memastikan umat Islam ke syurga, ia tidak akan dapat membangunkan ekonomi yang kukuh untuk orang Melayu.
“Ia juga tidak akan membantu Bersatu memenangi Kerajaan Persekutuan. Masih ada masa untuk pemimpin Melayu melakukan sesuatu yang berguna untuk rakyat negara ini,” jelasnya.
Ujar beliau, pemimpin Pas sepatutnya bekerjasama dengan Perdana Menteri untuk membangunkan negeri-negeri Melayu sementara pemimpin Bersatu harus merapatkan barisan dengan UMNO dan cuba bersatu semula.
“Muhyiddin patut melupakan hasrat untuk menjadi PM semula. Lagipun, tiada sebab untuk Bersatu terus melawan Umno.
“Anda semua ‘dibuat’ daripada bahan yang sama dan perbezaannya hanya taktikal semata-mata. Cari cara untuk berkongsi kuasa seperti yang selalu dilakukan,” jelasnya.
p>Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!