Pegawai kanan 'belasah' pegawai: Mindef serah kepada polis siasat
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan berhubung kes pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang didakwa mengasari pegawai bawahannya sehingga cedera.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana laporan polis telah dibuat dan polis juga sedang menjalankan siasatan.
“Kes itu ada laporan polis, biarlah polis buat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Perbarisan Tahunan Putera, Maktab Tentera Diraja Sungai Besi di sini pada Ahad.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata sebelum ini berkata, satu laporan polis dibuat terhadap pegawai kanan terbabit pada jam 1.27 pagi, 4 Mac lalu di Balai Polis Bau.
Mancha berkata, pegawai kanan terbabit panggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk dirakam keterangan dan kes masih dalam siasatan polis.
Pada 1 Mac lalu, seorang pegawai TDM mendakwa ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh pegawai kanan terbabit sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan blunt trauma.
Kejadian berkenaan berlaku ketika sekumpulan pegawai sedang menjalani latihan peringkat formasi.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengesahkan pegawai kanan berkenaan kini dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan TDM melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.
Ketika ditanya berkenaan inkuiri dalaman berhubung insiden berkenaan, Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan berjalan serentak.
“Inkuiri dalaman tetap dijalankan tetapi kita bagi keutamaan kepada siasatan polis,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!