Polis siasat Himpunan Hari Wanita 2024
KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil penganjur Himpunan Hari Wanita 2024 di Ibu kota pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung himpunan itu.
"Kita turut menyiasat himpunan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan akan panggil penganjur dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan seramai 200 peserta berkumpul di luar sebuah kompleks beli-belah pada jam 9 pagi sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Para peserta membawa pelbagai plakad, kain rentang serta bendera.
Pada Selasa lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, sebarang kesalahan yang dilakukan boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!