Anak muda gotong-royong bakar 200 lemang sambut Ramadan
KUALA PILAH - Menjadi tradisi masyarakat Negeri Sembilan untuk menyambut kedatangan Ramadan dengan aktiviti mantai termasuklah membakar lemang.
Meskipun bagi sesetengah tempat tradisi itu seakan dilupakan, namun penduduk Kampung Air Kuning di sini, sepakat meneruskannya dengan bergotong-royong membakar 200 lemang dan memasak 40 kilogram (kg) rendang daging.
Apa yang membanggakan, ia diusahakan oleh sekumpulan anak muda kampung tersebut yang mengumpul dana, mencari buluh, memerah santan sehinggalah mengacau rendang.
Malah ada di antara mereka yang sanggup mengambil cuti pulang ke kampung kerana tidak mahu melepaskan peluang merasai suasana berkenaan.
Khairul Hidayat Jaamat, 47, yang kini menetap di Sungai Buloh, Selangor berkata, dia teruja untuk pulang ke kampung selepas mendengar penduduk akan mengadakan gotong-royong sempena ketibaan Ramadan.
Ini kerana katanya, suasana tersebut jarang dapat dirasai memandangkan dia kini sudah berhijrah ke bandar.
"Saya rasa negeri lain tiada tradisi ini, hanya di Negeri Sembilan. Kami menyambut kedatangan Ramadan dengan mengadakan mantai atau memasak lemang sama ada di rumah dengan ahli keluarga atau gotong-royong.
"Kali ini saya dengar ia diusahakan anak muda kampung ini, jadi saya nak turut serta kerana ini adalah kesempatan untuk kami berkumpul selain dapat mengeratkan hubungan," katanya ditemui Sinar Harian pada malam Sabtu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kepis Ulu, S Afendi Baharuddin berkata, idea untuk mengadakan aktiviti tersebut timbul sebulan lalu dalam usaha mereka untuk mendekatkan anak muda dengan komuniti kampung.
Menurutnya, bagi merealisasikannya, seramai 17 anak muda menyumbang RM100 seorang untuk membeli bahan mentah termasuk mencari kayu api dan buluh dengan bantuan penduduk kampung.
"Usaha anak muda ini wajar dipuji kerana ia bukan sahaja meneruskan tradisi orang dahulu, malah merapatkan jurang antara golongan tua dan anak muda," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman yang turut serta dalam program berkenaan berkata, perlunya aktiviti seumpama itu diteruskan supaya ia tidak dilupakan terutamanya oleh generasi muda.
Pada masa sama katanya, ia dapat meneruskan semangat bergotong-royong antara penduduk kampung.
"Apa yang menariknya ia dianjurkan anak muda di kampung ini sambil dipantau dan dibantu golongan tua.
"Di sini kita dapat lihat bahawa golongan belia ini rapat dan mempunyai rasa hormat terhadap yang lebih berusia. Hubungan sebeginilah yang kita harap dapat dipupuk di semua tempat," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!