[VIDEO] Ibu bapa harap kerajaan kawal harga kelengkapan sekolah

A
A
A

JOHOR BAHRU - Rata-rata ibu bapa mengakui berlaku peningkatan harga bagi barangan kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, kasut sekolah dan lain-lain sempena sesi persekolahan tahun ini.

Melalui tinjauan Sinar Harian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail pada Ahad, ibu bapa memberitahu masih mampu untuk menyediakan kesemua kelengkapan persekolahan tersebut berikutan kenaikan tidak ketara.

Sebahagian pelajar yang melakukan pendaftaran di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru pada Ahad. Gambar kecil: Danny Loo, Hazmira, Suresh Rao
Sebahagian pelajar yang melakukan pendaftaran di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru pada Ahad. Gambar kecil: Danny Loo, Hazmira, Suresh Rao

Bagaimanapun, peguam syarikat, Danny Loo, 41, berharap agar harga barang kelengkapan sekolah dapat dikawal oleh kerajaan dan memberitahu biarpun harga kelengkapan persekolahan masih tidak terlalu tinggi kali ini, namun ia mungkin memberikan kesan kepada ibu bapa yang mempunyai anak ramai.

"Jadi saya cadangkan agar kerajaan boleh kawal kenaikan ini.

Pelajar-pelajar melakukan pendaftaran di hari pertama persekolahan di SMK Sultan Ismail di Johor Bahru pada Ahad.
Pelajar-pelajar melakukan pendaftaran di hari pertama persekolahan di SMK Sultan Ismail di Johor Bahru pada Ahad.

"Ia bagi membolehkan ibu bapa yang mempunyai ramai anak masih mampu berbelanja untuk membeli barangan kelengkapan sekolah," katanya yang mempunyai dua orang anak bersekolah di Tingkatan Satu dan seorang lagi di sekolah rendah.

Artikel Berkaitan:

Bagi suri rumah, Hazmira Hashim, 44, pula kenaikan berkenaan masih tidak terlalu membebankan dan beliau masih mampu untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anaknya.

"Kalau tanya saya memanglah ada berlaku peningkatan harga untuk baju sekolah dan sebagainya.

"Tetapi, saya masih mampu untuk mendapatkan kelengkapan sekolah untuk bongsu saya yang akan mula belajar di Tingkatan Satu nanti," katanya.

Seorang kakitangan swasta, Suresh Rao Apparao, 47, pula berkata, harga bagi kelengkapan sekolah dilihat masih berada pada kadar harga yang sama seperti sebelum ini.

Katanya, jika berlaku kenaikan, ia tidaklah terlalu ketara dan masih dalam kemampuannya untuk berbelanja.

"Anak saya dua orang, seorang di SSI (Sekolah Sultan Ismail) dalam Tingkatan Empat dan seorang lagi Tingkatan Satu.

"Bagi saya, perbelanjaan sekolah masih biasa seperti baju, seluar, kasut dan harganya masih sama macam tahun lepas.

"Cuma perbelanjaan seperi tuisyen untuk anak keempat saya, belanja, bas sekolah yang dilihat agak naik," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!