MAINJ peruntuk RM17 juta baik pulih rumah asnaf
PONTIAN - Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM17 juta bagi membaik pulih 280 rumah golongan asnaf tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Nasri Ali berkata, lima rumah di setiap DUN pula akan dibaik pulih dengan harga siling sebuah sebanyak RM18,000.
“Peruntukan ini hasil daripada pembayaran zakat oleh umat Islam di Johor. MAINJ sebagai pengantara akan memulangkan semula kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf dan sebagainya.
“Pendekatan ini merupakan cara kami menyantuni pembayar zakat supaya mereka mengetahui bayaran tersebut disalurkan termasuk bagi program baik pulih dan bina rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Program Baik Pulih Rumah Perdana MAINJ peringkat negeri di Kampung Sungai Kuali, Serkat di sini, pada Ahad.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Farid Mohd Khalid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan dan Pegawai Daerah Pontian, Zainal Eran.
Pada majlis pelancaran tersebut rumah seorang ibu tunggal, Rahmah Suratman, 74, yang berusia 45 tahun dibaik pulih dengan kerja-kerja penggantian zink, memasang pintu, mengecat dinding, memasang tikar getah dan sebagainya.
Tambah Nasri, selain baik pulih rumah, MAINJ juga memperuntukkan RM8 juta bagi projek membina rumah golongan asnaf dan golongan yang memerlukan seperti mangsa bencana.
Katanya, bagi projek membina baru rumah, MAINJ menetapkan harga siling sebanyak RM65,000 bagi setiap rumah dan penilaian dibuat melalui ketiga-tiga pihak iaitu ADUN, Pejabat Daerah dan MAINJ.
“MAINJ hanya memegang amanah kepada para pembayar zakat yang perlu digunakan sebaik mungkin kepada golongan memerlukan termasuk juga bagi perkara berkaitan kesihatan dan pendidikan,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!