Anak penoreh getah terima Anugerah Menteri Pertahanan

Muhammad Hakimi bergambar bersama ayahnya, Muhamad Higaruddin Hambali dan ibu, Rabitah Md Janis selepas menerima Anugerah Menteri Pertahanan pada majlis Pembarisan Tahunan Putera MTD di Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Muhammad Hakimi bergambar bersama ayahnya, Muhamad Higaruddin Hambali dan ibu, Rabitah Md Janis selepas menerima Anugerah Menteri Pertahanan pada majlis Pembarisan Tahunan Putera MTD di Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Minatnya dengan aktiviti lasak dan mahu menjadi yang terbaik dan berdisiplin menjadi pendorong kepada Pegawai Rendah Muda Muhammad Hakimi Muhamad Higaruddin hingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Menteri Pertahanan untuk pencapaian terbaik keseluruhan.

Anak penoreh getah kepada pasangan Muhamad Higaruddin Hambali, 47, dan Rabitah Md Janis, 47, itu menerima anugerah berkenaan pada Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Padang Kawad Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Perdana Sungai Besi, di sini pada Ahad

Muhammad Hakimi, 18, berasal dari Baling, Kedah itu berkata, peluang itu digunakan sebaiknya semasa dua tahun menuntut di MTD ketika dia di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima.

"Saya mempunyai satu minat untuk meningkatkan disiplin diri.

"Sebagaimana yang kita tahu, MTD adalah satu institusi menerapkan nilai ketenteraan sebagai pembelajaran, jadi di sini dapat membantu saya untuk mengikuti garis panduan.

"MTD sentiasa membantu pelajarnya,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi Panglima Angkatan Tentera.

Muhammad Hakimi berkata, ia merupakan satu-satunya institusi pendidikan menengah yang berikan peluang pelajarnya bermain dengan senjata api M16, dengan kawalan oleh pegawai dan jurulatih profesional

“MTD adalah institusi yang 'tough' (sangat lasak).

Artikel Berkaitan:

"Kita sebagai putera (pelajar) memang perlu membahagikan masa antara akademik, ketenteraan dan kokurikulum.

"Jadi saya buat jadual untuk membahagikan antara ketiga-tiga itu supaya saya dapat seimbangkan dan istiqamah," katanya.

Muhammad Hakimi mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Asam Jawa, Baling, Kedah seterusnya melanjutkan pelajaran menengah Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu.

Dari kiri: Penerima Anugerah Lembaga Tadbir, Putera Kanan Anas Abd Hamid; penerima Anugerah Komandan, Pegawai Rendah Kanan Muhammad Hafiz Irfan Hadzri; Muhammad Hakimi; dan penerima Anugerah Pengarah Pengajian, Putera Kanan Kong Deng Xu bergambar bersama pada Majlis Pembarisan Tahunan Putera MTD pada Ahad. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Dari kiri: Penerima Anugerah Lembaga Tadbir, Putera Kanan Anas Abd Hamid; penerima Anugerah Komandan, Pegawai Rendah Kanan Muhammad Hafiz Irfan Hadzri; Muhammad Hakimi; dan penerima Anugerah Pengarah Pengajian, Putera Kanan Kong Deng Xu bergambar bersama pada Majlis Pembarisan Tahunan Putera MTD pada Ahad. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Ketika ditanya mengenai rahsia bagaimana dia boleh berjaya ke tahap itu, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia akan bangun awal pagi mengulang kaji setiap hari untuk meningkatkan daya ingatan khususnya dalam aspek pengajian akademik.

"Selain itu MTD menganjurkan bacaan al-Quran setiap hari dan bacaan Yasin hari Jumaat disiarkan secara langsung di Facebook YouTube RMC," katanya.

Beliau dalam pada itu turut memanjatkan kesyukuran atas rezeki dikurniakan ALLAH SWT dan menyifatkannya sebagai hadiah terhadap pengorbanan kedua orang tuanya.

"Saya begitu terharu mendapat anugerah ini. Saya tak sangka sebenarnya.

"Terima kasih emak, abah sebab dah banyak menyokong Along, banyak mendoakan kejayaan saya.

"Terima kasih semua rakan yang banyak menyokong, pegawai dan jurulatih di sebalik kejayaan saya," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan sebelum menyampaikan anugerah berkenaan berkata, penubuhan Maktab Tentera Diraja iaitu MTD atau RMC adalah satu agenda nasional penting yang bakal menyertai ketumbukan pertahanan negara.

Beliau berkata, putera MTD memberi sumbangan bermakna kepada negara dalam pelbagai lapangan untuk meneruskan kesinambungan pengajian dan kerjaya yang mendukung kepentingan negara, khususnya dalam sektor pertahanan.

"Sektor pertahanan negara memerlukan bakat terbaik.

"Pertahanan negara harus digerakkan dan didukung oleh putera-putera terbaik bangsa yang dilahirkan oleh MTD.

"Sebab itulah, kerajaan tidak kisah untuk terus berbelanja sehingga kira-kira RM21 juta setiap tahun untuk MTD termasuklah emolumen pegawai, guru-guru serta kakitangan.

"Malah, bagi membiayai segala keperluan dan kebajikan sepanjang dua tahun berada di sini, kita memperuntukkan sebanyak kira-kira RM27,000 bagi seorang penuntut MTD," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!