Resah Ramadan tanpa bekalan air
KUANTAN - Sebanyak 475 keluarga di Taman Perumahan Bukit Goh Perdana di sini, resah untuk menyambut Ramadan susulan berdepan masalah bekalan air yang sering terganggu sejak beberapa tahun lalu.
Mereka mendakwa bekalan air paling terjejas sekitar awal tahun ini sehingga usaha untuk menyimpan air tidak dapat dilakukan susulan waktu catuan tidak menentu.
Situasi itu memberi tekanan kepada mereka iaitu cara bagaimana untuk mendapat bekalan air yang cukup bagi menyambut bulan puasa ini.
Penduduk, Zamri Ibrahim, 52, mengakui kecewa kerana saban tahun masalah sama membelenggu penduduk di kawasan terbabit.
Dia yang bekerja sendiri berkata, keadaan menjadi lebih rumit kerana ia berlaku ketika Ramadan ini dan menjelang Aidilfitri nanti.
"Ramadan ini pun sama, seperti tahun lalu tiada sebarang perubahan. Kita ini sudah duduk dekat 20 tahun di sini... daripada mula dulu (ketika), tidak ramai orang (penduduk), sekarang sudah capai 95 peratus penduduk. Tapi keadaan tetap macam ini.
"Kita bukan hendak salahkan siapa-siapa tapi tolonglah pihak berwajib ambil tindakan dengan segera. Kalau tidak masalah ini akan tetap berlarutan lagi," katanya ketika ditemui pemberita di taman perumahan Bukit Goh Perdana pada Ahad.
Pegawal keselamatan, Mohamad Nazir Mustaffa, 51, pula berkata, gangguan bekalan air yang kerap telah mengakibatkan aktiviti seharian terjejas.
Dakwanya, penduduk perlu mengubah rutin harian dan mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli tong bagi kegunaan menyimpan air.
"Kita terpaksa guna air bercatu, cari tong air untuk buat simpan takut jadi macam inilah (putus bekalan). Jadi rutin harian sudah berubah, terpaksa simpan air dan banyak kerja kena buat.
"Saya pun tidak tahu apa punca, kenapa perjalanan air di taman perumahan ini bermasalah," katanya.
Kerani swasta, Nor Suhaira Amran, 29, juga meluahkan rasa kesal apabila masalah gangguan bekalan air gagal diselesaikan sebaiknya.
Katanya, sebagai pengguna sudah pasti ia memberi seribu satu tekanan dalam menguruskan perihal rumah tangga apabila ketiadaan air.
"Saya ada anak kecik, kalau anak tidak sihat dan muntah, hendak basuh cadar pun susah, sampai perlu tunggu berhari-hari. Saya tidak larat pula hendak ke dobi sebab semua itu (perlu duit) sudahlah ekonomi tidak baik.
"Bila bulan puasa pula, macam mana saya hendak masak sahur dengan keadaan masalah air masih berlanjutan," rungutannya.
Senada dengan itu, pembantu tadbir, Zamri Abu Yazid, 52, memaklumkan penduduk faham dengan kemungkinan kos pembaikan paip dan masa yang panjang diperlukan pihak berkenaan.
Namun, jelasnya, pelan catuan air perlu dilaksanakan dengan baik pada waktu tertentu bagi membolehkan penduduk khususnya suri rumah menyimpan air.
"Bila bulan puasa nanti, kalau keadaan seperti ini memang susahlah. Saya tidak apa (sebab) pergi kerja, tapi masalah pada orang rumah, hendak masak untuk sediakan juadah berbuka.
"Kalau tahun lalu, gangguan ada tapi tidak seteruk sekarang, air ada pada waktu pendek (tertentu) selebihnya tiada air," luahnya yang sudah menetap di taman terbabit hampir 20 tahun.
Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, gangguan bekalan air di Bukit Goh Perdana akan diselesaikan selepas pelbagai siri perbincangan, sesi dialog rakyat dan libat urus antara masyarakat bersama agensi berkaitan diadakan sejak 2018 sehingga awal tahun ini.
Menurutnya, hasil daripada usaha itu projek membekal dan memasang pam air bersih di pam air Bukit Goh Perdana dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.
"Alhamdulillah sebut harga untuk projek membekal dan memasang pam air bersih di Pam Air Bukit Goh Perdana telah pun diiklankan.
"Insya-ALLAH projek ini memberi harapan yang sangat jelas buat masyarakat di Bukit Goh Perdana agar masalah bekalan air ini tidak lagi membelenggu mereka," katanya.
Beliau berterima kasih kepada kerajaan Pahang, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan semua pihak dalam usaha menangani masalah tersebut.
Jelasnya, satu persatu isu bekalan air di Parlimen Paya Besar yang sedang diuruskan dan akan diselesaikan.
"Bermula dengan masalah air di Kampung Bukit Kuin yang bakal berakhir, diikuti Panching Utara yang sedang berjalan dan terkini di Taman Bukit Goh Perdana.
"Banyak lagi kawasan yang sedang saya uruskan, Insya-ALLAH semoga usaha ini dipermudahkan dan berjalan dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!