Kerajaan beri bebanan kepada rakyat
SHAH ALAM - UMNO Selangor menyifatkan kerajaan pada hari ini lebih membebankan rakyat khususnya buat generasi akan datang.
Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan berkata, kerajaan dilihat cuba untuk menswastakan pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) susulan ketiadaan sumber wang yang bakal memberi kesan kritikal kepada peningkatan kos pembelajaran pelajar.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan mampu menampung kos pengurusan pendidikan pada jangka masa panjang.
"Setelah berpuluh tahun Mara ditubuhkan, pencapaian dan kecemerlangannya begitu baik sekali. Sekarang bidang perniagaan itu ingin ditutup dengan alasan Melayu tidak pandai berniaga kononnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Mara, Hasnita Hashim membayangkan agensi Bumiputera itu akan menutup kegiatan-kegiatan dagangannya di sebalik bantahan beberapa pihak terhadap rancangan menutup syarikat korporatnya, Mara Corporation Sdn Bhd.
Dalam surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Hasnita berkata, Mara Corporation akan menutup perniagaan-perniagaan dan pelaburan-pelaburannya.
Dalam pada itu Mat Nadzari berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan penambahbaikan atau melabur kepada bidang yang lebih menguntungkan.
"Tetapi tindakan kerajaan hari ini sangat bertentangan dan menyimpang jauh dari janji-janji manifesto pendidikan percuma mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!