ADUN Jeram kekal setia bersama PN

Harrison (kiri) meninjau tapak pameran pada Program Jeram Lestari pada Ahad.
Harrison (kiri) meninjau tapak pameran pada Program Jeram Lestari pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan menegaskan tidak sesekali mengkhianati mandat rakyat dan terus kekal untuk bersama-sama Perikatan Nasional (PN).

Harrison berkata, kemenangan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor disebabkan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

"Saya baru saja menjadi ADUN selama lebih enam bulan dan akan terus fokus pelbagai isu rakyat di Jeram.

"Saya kini hanya memegang amanah pengundi dan kekal teguh bersama PN," katanya ketika ditemui pada Program Jeram Lestari di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai laporan sebuah portal pro-kerajaan yang mengaitkan beliau antara ADUN pembangkang yang dijangka memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Harrison berkata, tohmahan seumpama itu dianggap perkara biasa dalam dunia politik tanah air.

Tambah Harrison, beliau tidak bercadang mengambil tindakan ke atas portal tersebut setakat ini.

"Bagi saya, penafian yang telah dibuat sebelum ini sudah memadai mengenai pendirian saya kepada parti," ujarnya.

Sinar Harian pada 6 Mac lalu melaporkan, Harrison menafikan beliau menyokong kepimpinan Amirudin seperti dilaporkan sebuah portal pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Harrison berkata, laporan sebuah portal itu tidak benar, sebaliknya beliau kekal berada di blok pembangkang DUN Selangor.

Portal itu melaporkan wujud ura-ura lima ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi sokongan mereka kepada kepimpinan Amirudin.

Kumpulan itu didakwa diketuai bekas pengerusi Bersatu Selangor yang juga ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Laporan sama turut memaklumkan pemimpin yang akan turut menyokong termasuk ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani; ADUN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad dan ADUN Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!