Daging lembu tempatan menu sahur pilihan di Kelantan

Muhd Shahrulrazi menimbang daging jualannya kepada pelanggan yang singgah berbelanja di gerainya di Kampung Chica. - Foto: Bernama
Muhd Shahrulrazi menimbang daging jualannya kepada pelanggan yang singgah berbelanja di gerainya di Kampung Chica. - Foto: Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Tradisi orang Kelantan yang memilih daging lembu tempatan untuk dijadikan menu sahur setiap kali menjelang Ramadan memberi kelebihan kepada seorang penjual daging apabila lembu sembelihannya 'licin' hanya dalam tempoh empat jam.

Peniaga Mohd Shahrulrazi Fauzi, 31, berkata, sejak semalam permintaan daging lembu tempatan di gerainya yang terletak di Kampung Chica di sini meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

Beliau berkata, gerainya diserbu orang ramai sejak beberapa lepas dan semalam daging daripada dua ekor lembu tempatan berharga RM10,000 seekor, habis dijual kira-kira pada 12.30 tengah hari.

"Hari ini kita mungkin akan jual (daging) melebihi dua ekor lembu memandangkan sambutan yang sangat menggalakkan manakala untuk hari 'mege poso' (hari pertama puasa) kita akan sembelih empat ekor lembu untuk dijual.

"Sepanjang Ramadan ini saya mengupah sepupu untuk membantu saya di gerai kerana memang setiap tahun sambutan terhadap jualan daging lembu tempatan sangat memberangsangkan," katanya ketika ditemui di Kampung Chica, di sini, hari ini.

Mohd Shahrulrazi yang sudah lebih 15 tahun berniaga daging lembu tempatan itu berkata, 'daging musim' atau daging batang pinang menjadi rebutan utama pelanggan walaupun dijual lebih mahal iaitu RM34 sekilogram berbanding bahagian lain RM32.

Muhd Shahrulrazi melayan pelanggannya yang membeli daging lembu tempatan di gerainya yang terletak di Kampung Chica dekat sini. - Foto: Bernama
Muhd Shahrulrazi melayan pelanggannya yang membeli daging lembu tempatan di gerainya yang terletak di Kampung Chica dekat sini. - Foto: Bernama

Selain daging katanya, pelanggan juga membeli tulang, hati dan perut lembu untuk dijadikan lauk bersahur.

Artikel Berkaitan:

Anak sulung daripada tujuh beradik itu memberitahu lembu tempatan termahal setakat ini yang pernah beliau sembelih untuk jualan berharga RM15,000 dengan berat hampir satu tan metrik.

"Walaupun harga belian lembu tempatan agak mahal, namun saya rasa ia sangat berbaloi kerana ia sangat laris dan menguntungkan," katanya.

Sementara itu pelanggan, Azma Ismail, 53, berkata, beliau memilih daging lembu tempatan kerana rasanya yang lebih enak dan lembut berbanding daging import selain mampu membuka selera tiga anaknya untuk bersahur.

"Hari pertama sahur, biasanya anak-anak kurang berselera. Kalau ada daging goreng kunyit atau singgang tulang bolehlah buka selera mereka untuk bersahur.

"Lagipun daging lembu tempatan boleh disimpan lama dalam peti dan masih lembut untuk dimasak," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!