Operasi bersepadu cegah jenayah di perairan Malaysia-Thailand
TUMPAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi-agensi sahabat dari Thailand di sekitar perairan sempadan Malaysia-Thailand pada Sabtu.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, operasi bersepadu ini merupakan kali kedua dilaksanakan pada tahun ini.
Tambahnya, untuk operasi kali ini lebih banyak agensi penguat kuasa dari Thailand telah dijemput untuk terlibat dalam operasi seperti Polis Marin Diraja Thailand, Polis Peronda Sempadan Thailand, Tentera Sempadan Thailand dan Kastam Thailand.
"Kerjasama agensi penguat kuasa bagi kedua-dua negara ini adalah salah satu usaha mencegah dan membanteras aktiviti jenayah di kawasan operasi maritim terutamanya di sekitar perairan sempadan Malaysia dan Thailand.
"Operasi bersepadu ini juga bertujuan bagi memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dan persefahaman antara semua agensi yang terlibat dalam menguatkuasakan undang-undang di kawasan perairan sempadan dua negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Seramai 56 pegawai dan anggota dari semua agensi terlibat dalam operasi kali ini.
Bot Perkasa 1232 dan Perkasa 1247 dari Maritim Kelantan bersama dua bot peronda Polis Marin Diraja Thailand serta sebuah bot peronda dari Tentera Sempadan Thailand digunakan untuk melakukan rondaan di sekitar perairan sempadan.
Turut serta pada operasi kali ini ialah Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Amiludin Yenggah; Inspektor Balai Polis Marin 4 Takbai Sub Divisyen 7, Leftenan Kolonel Polis Paradon Sawadee dan Polis Peronda Sempadan Thailand, Leftenan Kolonel Polis Cherdchai Nortong.
Ujar Erwan Shah, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi sahabat yang terlibat dalam kerjasama dan sokongan dalam melaksanakan operasi bersepadu ini bagi membanteras pelanggaran undang-undang dan aktiviti jenayah di perairan sempadan.
"Diharapkan operasi seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan," ujarnya.
Pada 12 Februari lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan tiga tangkapan transporter dari 'Geng Bob' dan modus operandinya yang menjadikan terminal bas di Kota Bharu sebagai lokasi transit pendatang asing tanpa izin (PATI).
Berikutan itu, Sinar Harian telah melakukan beberapa siri tinjauan di sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Kelantan membabitkan lokasi pangkalan haram yang dikesan mudah membawa masuk atau keluar penumpang sama ada tempatan atau Thailand.
Ia sekali gus merisikokan negara dengan aktiviti penyeludupan termasuk PATI atas faktor jarak Sungai Golok yang dekat.
Susulan itu, Sinar Harian dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia berjaya membongkar sindiket PATI menerusi serbuan di sebuah rumah penampungan di Demit, Kota Bharu, pada 21 Februari lalu, yang membawa tangkapan penjaga rumah, transporter dan PATI.
Siri kedua operasi pada 24 Februari, kemudian turut membawa tangkapan dua lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Ali dan Rahim di sekitar Kota Bharu yang menjadi dalang utama sindiket PATI.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!