Perhilitan pindah gajah liar di Besut
JERTIH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memindahkan seekor gajah liar dalam satu operasi pemindahan di Kampung Dendong, Tembila, di sini hari ini.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, gajah jantan itu ditangkap pada 7 Mac lepas setelah pihaknya mengesan haiwan tersebut selama empat hari sebaik menerima aduan ia memasuki kawasan kebun penduduk kampung.
Beliau berkata, operasi memindahkan gajah itu melibatkan 22 anggota Perhilitan Terengganu, Perhilitan Kelantan (dua) dan Perhilitan Johor (seorang).
"Operasi ini turut dibantu dua ekor gajah denak iaitu Suria dan Indah yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu,” katanya ketika dihubungi.
Kean Seong berkata, operasi menaikkan gajah liar seberat dua tan itu ke dalam lori bermula jam 8 pagi dan selesai kira-kira 1 tengah hari tadi.
Tambahnya, gajah tersebut akan dipindahkan ke kawasan habitat lebih sesuai dan selamat.
"Pemindahan gajah ini sedikit sebanyak melegakan orang ramai memandangkan ia tersesat agak jauh daripada habitatnya dan berkeliaran berhampiran kawasan penempatan
"Orang ramai disarankan lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan segera melaporkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut," katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!