60 peserta terima sentuhan tukang gunting wanita

Hani (tengah) bersama perantis yang terlibat dalam program tersebut
Hani (tengah) bersama perantis yang terlibat dalam program tersebut
A
A
A

TEMERLOH - Seramai 60 peserta mendapat sentuhan enam tukang gunting wanita menerusi 'Moh Kome Guntingkan Rambut' sempena program kembali ke sekolah anjuran Sekretariat Pemuda Perpaduan Temerloh dekat sini pada Ahad.

Program gunting rambut secara percuma itu dijalankan di Stesen Bas Lurah Semantan.

Tukang gunting terbabit dibawa secara khas daripada Hanru The Salon Professional Academy, Temerloh yang terdiri daripada perantis dandanan rambut.

Syahril (Kiri) dan Ridzuan (kanan) ketika menyantuni peserta yang terlibat dalam program tersebut
Syahril (Kiri) dan Ridzuan (kanan) ketika menyantuni peserta yang terlibat dalam program tersebut

Salah seorang pelajar, Muhd Akif Mohd Badrul Hisham,14, mengakui agak terkejut pada peringkat awal, namun berpuas hati selepas selesai mendapat sentuhan tukang gunting terbabit.

"Gembira lihat hasil selepas rambut sudah selesai digunting dan esok (Isnin) saya ke sekolah dengan lebih yakin," katanya.

Seorang lagi peserta, Nurhazimie Daniel Norazlan,16, turut berpuas hati dan menghargai usaha yang dijalankan oleh pihak terbabit.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, perantis dandanan rambut, Hasnida Abdul Jalil, 25, berkata, dia teruja dapat turut sama menyertai dengan program itu sekali gus dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari selepas menyertai akademi tersebut pada April tahun lepas.

Hanis (kanan) ketika membantu perantis menggunting rambut peserta
Hanis (kanan) ketika membantu perantis menggunting rambut peserta

Pengasas akademi, Hani Othman, 42, berkata, program itu memberikan peluang kepada perantis terlibat untuk mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari sebelum menunggu peperiksaan akhir pada April depan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Temerloh, Syahril Rizal Tajudin memberitahu, sekretariat terbabit menganjurkan program tersebut bagi membantu golongan kurang berkemampuan bagi menghadapi sesi persekolahan 2024.

"Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu ini, kami berharap program seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ibu bapa dan penjaga," tambahnya.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan memberikan semangat kepada peserta sebelum kembali ke sekolah pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, Mohd Azly Norzan dan Ketua Pemuda Amanah Kawasan Temerloh, Mohd Adam Isa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!