Sarawak sediakan 150,000 hektar bagi pengeluaran beras

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak akan menyediakan tanah seluas 150,000 hektar bagi memberi tumpuan dalam pengeluaran beras agar keselamatan makanan di Malaysia terjamin.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek penanaman padi akan dilakukan secara berperingkat menggunakan peruntukan daripada kerajaan pusat yang berjumlah RM173 juta.

"Saya anggarkan jumlah itu mungkin tidak mencukupi jadi kita juga akan tambah peruntukan dalam projek ini yang memerlukan sistem pengairan kerana kosnya agak tinggi.

"Kerajaan negeri Sarawak juga memberi peruntukan secara beransur-ansur bagi pojek penanaman padi di kawasan selatan termasuk Simunjan, Gedong dan Sri Aman manakala kawasan utara termasuk Limbang dan Lawas, masing-masing 10 hektar setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek Jelapang Padi di Stumbin, Sri Aman pada Ahad.

Abang Johari berkata, kaedah penanaman padi di Sarawak akan mengguna pakai model projek di Kampung Lubok Punggor yang menggunakan teknologi baharu dan jenis benih hibrid.

"Kita telah membuat kajian bersama Universiti Putra Malaysia yang mendapati satu hektar boleh ditanam lima musim dalam tempoh 24 bulan dan hasilnya ialah lapan tan.

"Sarawak merancang untuk membangunkan kira-kira 20,000 hektar lagi bagi projek penanaman padi,” katanya sambil menambah usaha dan kerja keras dalam projek itu akan membolehkan Sarawak meningkatkan pengeluaran beras negara sebanyak 100 peratus menjelang 2030. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!