Wilkin yakin Harimau Malaya mampu kekalkan momentum positif berdepan Oman
MALAYSIA mempunyai kelebihan untuk layak ke pusingan ketiga lebih awal selepas bermula dengan sempurna dalam saingan Kumpulan D kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Dua kemenangan direkodkan Harimau Malaya pada pusingan kedua kelayakan itu masing-masing ke atas Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan (1-0) tahun lepas, menyaksikan skuad kendalian ketua jurulatih, Kim Pan Gon mengungguli kumpulan D dengan perbezaan tiga mata di hadapan Oman yang akan bersaing dengan pasukan kebangsaan bulan ini.
Pemain tengah, Stuart Wilkin optimis skuad kebangsaan dapat mengekalkan momentum positif apabila berdepan pasukan di ranking ke-80 di Muscat pada 21 Mac dan aksi di tempat sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac.
"Mudah-mudahan kami terus mencipta keputusan baik seperti yang sudah dimiliki dan semoga keputusan sebelumnya memberikan keyakinan kepada kami untuk mengharungi perlawanan kali ini.
"Oman adalah pasukan kuat dan perlawanan ini akan menjadi sangat sukar buat kami. Ini adalah perlawanan penting dan diharapkan kami boleh membawa keputusan positif untuk terus mengharungi perlawanan berikutnya,” katanya kepada pemberita sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pemain tengah, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi berkata, pasukan negara berada di landasan terbaik untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia buat julung kali.
Namun, pemain Selangor FC berusia 23 tahun itu berkata, komitmen setiap pemain amat penting dalam merealisasikan impian semua pihak itu.
"Saya rasa ini peluang terbaik sebab kita dah menang dua perlawanan...kita perlu beri kerjasama kepada jurulatih (Pan Gon), beri 100 peratus dalam latihan dan fokus kepada perlawanan,” katanya.
Pasukan negara akan menentang Nepal dalam aksi pemanas badan dijadual berlangsung secara tertutup di sini pada 15 Mac ini sebelum berlepas ke Muscat pada 17 Mac.
Selepas beraksi dua perlawanan menentang Oman, Malaysia dijadual bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun depan sebelum menamatkan saingan Kumpulan D menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.
Kyrgyzstan kini berkongsi mata dengan Oman di kedudukan ketiga sementara Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga dan mengesahkan tempat ke saingan Piala Asia 2027 sementara dua pasukan tercorot akan beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!