Pengalaman pisahkan Shi Yuqi, Kunlavut di Perancis

Shi Yuqi (kanan) dan Kunlavut. Foto Agensi
Shi Yuqi (kanan) dan Kunlavut. Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki dari China, Shi Yuqi muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Arena Porte De La Chapelle, Paris pada Ahad.

Shi Yuqi mengungguli kejuaraan Siri Jelajah Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) Super 750 itu setelah menewaskan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Bagaimanapun kemenangan diraih Shi Yuqi yang berstatus nombor dua dunia ke atas pemain nombor lapan dunia kelahiran Chonburi itu bukan mudah.

Sebaliknya Shi Yuqi yang berusia 28 tahun dipaksa lawan berusia 22 tahun beraksi segenap penjuru gelanggang sebelum menang straight set 22-20, 21-19 dalam masa 62 minit.

Ini merupakan kejuaraan kedua Super 750 dimenangi Shi Yuqi selepas mengungguli Terbuka India selepas mengatasi pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, dalam masa 54 minit pada Januari lalu.

Sementara itu, bintang muda Korea Selatan, An Se-young, 22, mengungguli acara perseorangan wanita setelah menjinakkan pemain Jepun, Akane Yamaguchi berusia 26 tahun.

Tampil dengan status pemain nombor satu dunia, Se-young yang kecundang set pertama, 18-21 kepada lawan berstatus nombor empat dunia bangkit dua set berikutnya 21-13, 21-10 dalam masa 64 minit.

Beregu lelaki nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pula meneruskan momentum positif tanpa tewas setiap set di Paris.

Artikel Berkaitan:

Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty mengungguli acara itu setelah menang straight set ke atas nombor 26 dunia dari Taiwan, Lee Jhe-huei-Yang Po-hsuan, 21-17, 21-17 dalam masa 37 minit.

Sementara itu, beregu wanita nombor satu dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan menewaskan gandingan nombor enam dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, 21-12, 19-21, 24-22 dalam masa 88 minit bagi mengungguli kategori tersebut.

Pentas beregu campuran pula menyaksikan gandingan nombor empat dunia dari China, Feng Yanzhe-Huang Dongping dari China menang ke atas gandingan nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Seo Seung-jae-Chae Yoo-jung, 21-16, 21-16 dalam masa 43 minit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!