Tiga jam tahan sakit, cincin tersangkut di jari manis
SIK - Seorang wanita terpaksa menunggu kira-kira tiga jam sebelum mendapatkan bantuan selepas sebentuk cincin tersangkut di jari manisnya dalam kejadian di sini, pada Isnin.
Keadaan itu menyebabkan jari manis tangan kiri wanita berusia 27 tahun itu bengkak disebabkan cincin yang dipakai tersangkut hingga sukar ditanggalkan.
Difahamkan, wanita itu terpaksa menahan sakit hampir tiga jam sebelum ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik ditemani suami untuk meminta bantuan anggota bomba menanggalkan cincin berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, wanita itu tiba di BBP Sik pada jam 8 pagi untuk meminta bantuan bagi kes cincin sukar ditanggalkan.
Beliau berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk memotong cincin berkenaan menggunakan peralatan khas pemotong cincin.
"Bagaimanapun, operasi dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan pada jari mangsa.
"Mangsa tidak mengalami kecederaan dan hanya bengkak di jari manis akibat kesan cincin yang tersangkut," katanya.
Dalam masa sama, Zulkhairi menasihati orang ramai khususnya golongan wanita supaya berhati-hati ketika memakai aksesori dan elakkan perkara yang boleh membahayakan diri.
Jelasnya, keadaan itu boleh mendatangkan mudarat sehingga berlaku kecederaan atau sakit jika tersangkut atau tersekat terlalu lama.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!