Sindiket edar dadah di pusat hiburan tumpas

Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di pusat hiburan dalam serbuan di Sitiawan pada Ahad. Foto ihsan Polis Perak
Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di pusat hiburan dalam serbuan di Sitiawan pada Ahad. Foto ihsan Polis Perak
A
A
A

MANJUNG - Polis Perak menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di pusat hiburan dalam serbuan di Sitiawan, di sini pada Ahad.

Operasi jam 12.35 malam itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM2,936.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan dilakukan susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan di hadapan pusat hiburan berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki lelaki berusia 21 tahun itu menjumpai enam plastik yang di dalamnya berisi jus minuman berperisa disyaki mengandungi dadah seberat 85.75 gram.

"Turut ditemui sembilan paket plastik lut sinar yang di dalamnya berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin seberat 14 gram dan satu keping foil aluminium mengandungi tujuh biji pil eramin 5 seberat 1.9 gram," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati, suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Polis membuat pemeriksaan ke atas 152 pengunjung pusat hiburan melalui saringan air kencing. Foto ihsan Polis Perak
Polis membuat pemeriksaan ke atas 152 pengunjung pusat hiburan melalui saringan air kencing. Foto ihsan Polis Perak

Katanya, ujian saringan air kencing pula mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 16 Mac ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Mohd Yusri berkata, aktiviti pengedaran dadah di pusat hiburan itu mula aktif sejak tiga bulan lalu.

"Semua dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pusat berkenaan," katanya.

Dalam operasi sama, polis membuat pemeriksaan ke atas 152 pengunjung pusat hiburan melalui saringan air kencing.

Ujar Mohd Yusri, daripada jumlah itu, 25 orang terdiri 14 lelaki tempatan dan 11 wanita warga Vietnam berusia antara 21 hingga 41 tahun positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan benzo.

"Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Enam daripada wanita yang ditahan itu juga dikesan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di dalam premis tanpa memiliki sebarang permit kerja yang sah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!