300 syarikat mohon tender Pakej 1B Lebuhraya Pan Borneo
KUALA LUMPUR - Sebanyak 300 syarikat memohon untuk menyertai tender bagi pakej 1B Fasa Satu Projek Lebuhraya Pan Borneo yang melibatkan 15 pakej kerja, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, proses tender prakelayakan itu ditutup baru-baru ini dan pihaknya dijangka mengambil masa sebulan untuk menyenarai pendek syarikat sebelum dibawa ke lembaga tender.
"Tender untuk 15 pakej Fasa 1B bukan hanya untuk Sabah tapi untuk seluruh rakyat Malaysia dan tidak akan dibuka kepada kontraktor luar negara.
"Kita perlu memastikan mereka memenuhi tiga syarat iaitu berapa banyak kerja dalam tangan mereka ketika ini, pengalaman dan kekukuhan kewangan syarikat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung tindakan kerajaan terhadap syarikat yang gagal menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Ahmad berkata, kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak syarikat sekiranya mereka gagal untuk menyiapkan projek mengikut tempoh masa berkenaan.
Setakat ini Pakej 1A Projek Lebuhraya Pan Borneo yang melibatkan 15 pakej telah siap 88 peratus dengan kesemua syarikat kontraktor berasal dari Sabah, katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!