[VIDEO] Nasi dagang 'licin' tak sampai dua jam

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tidak sampai dua jam, nasi dagang yang diberi secara percuma berjaya diagihkan kepada pelanggan sempena menyambut bulan Ramadan di sebuah restoran makanan tradisional terkenal, Nasi Dagang Atas Tol cawangan Bandar di sini pada Isnin.

Penyelia restoran, Siti Aishah Mohd Alkamal, 32, berkata, selain nasi dagang, menu lain seperti nasi lemak, nasi minyak, laksa kuah merah dan putih turut diberikan pengunjung yang mula hadir seawal jam 6.30 pagi tadi.

Menurutnya, program itu sebagai tanda kesyukuran selain memberi sedekah kepada pengunjung bagi menyambut kedatangan Ramadan.


Orang ramai beratur panjang bagi mendapatkan hidangan percuma.
Orang ramai beratur panjang bagi mendapatkan hidangan percuma.

"Ramai yang mula beratur di restoran ini seawal jam 6.30 pagi.

"Nasi Dagang juga sudah habis diagihkan pada jam 8 pagi tadi namun masih ada lagi makanan disediakan termasuk nasi minyak dan nasi lemak serta pelbagai minuman seperti teh ais dan sirap.

"Dengan cara ini kita dapat berkongsi rezeki dengan pelanggan selain ia dapat memperkenalkan restoran ini dan menjadi pilihan pengunjung setiap kali bercuti di Terengganu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di restoran tersebut pada Isnin.

Artikel Berkaitan:


Pekerja kedai menyediakan pelbagai makanan percuma kepada pelanggan.
Pekerja kedai menyediakan pelbagai makanan percuma kepada pelanggan.

Mengulas lanjut, Siti Aishah berkata, hidangan nasi dagang percuma itu juga disediakan di tiga cawangan restoran tersebut di Kampung Atas Tol, Padang Negara dan Padang Hiliran.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nur Amira Kamaruddin, 33, berkata, dia yang merupakan pelanggan setia sering memilih restoran tersebut sebagai pilihan untuk sarapan pagi.

"Saya sudah datang sebelum jam 8 pagi tadi. Memang sempat dapat rasa nasi dagang percuma sebelum ia habis.


Siti Aishah (dua dari kanan) beramah mesra dengan pelanggannya.
Siti Aishah (dua dari kanan) beramah mesra dengan pelanggannya.

"Disebabkan tahu restoran ini ada buat makanan percuma. Jadi saya datang ke sini untuk sarapan sebelum masuk bekerja," ujarnya.


Para pelanggan menikmati makanan percuma di restoran Nasi Dagang Atas Tol cawangan Bandar.
Para pelanggan menikmati makanan percuma di restoran Nasi Dagang Atas Tol cawangan Bandar.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!