PH gagal jiwai aspirasi Falsafah Pendidikan Negara
ALOR SETAR - Keharmonian kaum mutakhir ini dilihat semakin menipis apabila ada segelintir pihak cuba meniup bara perkauman malah wujud beberapa siri desakan berbaur provokasi menjurus ke arah ketegangan dan seterusnya meruntuhkan kemesraan kalangan masyarakat majmuk.
Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, kemelut antara kaum semakin serius khususnya dalam isu pendidikan yang semakin menjadi-jadi, ekoran kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menjiwai aspirasi dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Menurutnya, ia berlaku kerana PH tidak serius menanam semangat cintakan negara dan hidup berkasih sayang dalam membina perpaduan nasional terutama menerusi pendidikan.
“Antara isu yang meretakkan perpaduan, termasuk penulisan khat jawi yang hanya melibatkan tiga muka surat, namun memaksa Perdana Menteri membuat teguran keras terhadap pihak yang dilihat berpotensi cetuskan perbalahan lebih serius,” katanya.
Ahmad Fakhruddin yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat berkata, negara seharusnya menghargai kemajmukan berbilang kaum yang merupakan anugerah ALLAH SWT, menjadikan manusia pelbagai warna kulit, berbeza ras serta bahasa pertuturan mengikut kaum masing-masing.
“Mewujudkan suasana harmoni dan saling hormat-menghormati antara kaum adalah tanggung jawab semua. Rakyat Malaysia umumnya dapat menerima adat resam dan budaya kaum lain selagi sempadan tatasusila difahami dan diamalkan secara toleransi,” katanya.
Menurutnya, kita tidak mahu isu pendidikan dijadikan subjek atau percubaan mewujudkan keresahan dan ketakutan kalangan rakyat bukan Islam terhadap Islam atau Islamphobia.
“Ini termasuk isu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disiasat kerana meluluskan kertas soalan peperiksaan tertera nama pendakwah, Dr Zakir Naik dalam Kertas Hubungan Etnik sebagai ikon dunia Islam. Sama ada kebetulan atau tidak, DAP paling menonjol menunjukkan reaksi negatif terhadap apa yang berlaku,” katanya.
Ahmad Fakhruddin berkata, isu kontroversi lain termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang mengundang pelbagai reaksi.
“Rakyat masih ternanti-nanti keputusan laporan kajian Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) mengenai UEC di mana laporan itu perlu dibentang kepada Kementerian Pendidikan tanpa berlengah. Perkara ini dibangkitkan kerana ia melibatkan kepentingan awam dan perundangan pendidikan negara.
Persoalannya, apakah melengahkan pembentangan syor tersebut mempunyai agenda tersirat? Mereka terbawa-bawa dengan perangai ketika pembangkang, mungkin lupa sekarang sudah jadi kerajaan,” katanya.
Ahmad Fakhruddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang mengingatkan kerajaan jika isu-isu perkauman dan agama tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh menghancurkan Malaysia.
Hussamuddin turut menyifatkan suasana hubungan kaum dan agama di negara ini semakin parah sejak 20 bulan lalu.
Mengulas lanjut Ahmad Fakhruddin berkata, PH seakan mewujudkan tembok pemisah antara kaum dengan menafikan kepentingan mempelajari resam silang budaya seperti bahasa dan tulisan jawi sedangkan mempelajari tulisan kaligrafi Cina dijulang sebagai simbol perpaduan kaum.
“PH juga bersikap pilih kasih dalam soal pemberian agihan pendidikan apabila nisbah diberikan antara sekolah persendirian Cina dan sekolah aliran kebangsaan amat ketara,” katanya.
Menurutnya, pembinaan kesatuan dan perpaduan kaum bermula di laman pendidikan.
“Tidak dinafikan, kestabilan sosial kemasyarakatan bermula di situ. Terserah kepada PH bagaimana mengaturnya sesuai dengan slogan 'Malaysia Baru'. Rakyat mahu tahu apakah resipi pendidikan Malaysia Baru dalam membina perpaduan nasional,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!