Hanya dua murid Tahun 1 di SK Tebing Rebak

Zaiton (kanan) menyantuni lapan murid SK Tebing Rebak yang mengikuti sesi persekolahan baharu 2024.
Zaiton (kanan) menyantuni lapan murid SK Tebing Rebak yang mengikuti sesi persekolahan baharu 2024.
A
A
A

BAGAN DATUK - Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak, Sungai Sumun di sini hanya menerima dua pendaftaran baharu bagi Tahun Satu sesi persekolahan 2024.

Dua murid berkenaan, Ashman Hazeeq Mohamed Redzwan dan Mohamad Haziq Haikal Mohamad Hilmi masing-masing 7 tahun dari Kampung Tebing Rebak.

Pendaftaran baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan murid yang mengikuti sesi pembelajaran di sekolah berkenaan adalah lapan orang.

Guru Besar, Zaiton Hashim berkata, daripada jumlah itu, dua murid berada di Tahun Satu dan Tiga manakala Tahun Dua, Empat, Lima dan Enam masing-masing satu murid.

Menurutnya, bilangan murid yang sedikit di sekolah itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana tahun lalu merekodkan hanya seorang sahaja murid yang mendaftar di Tahun 1.

Ashman Hazeeq menunjukkan tulisan tangannya ketika tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2024 di SK Tebing Rebak di sini pada Isnin.
Ashman Hazeeq menunjukkan tulisan tangannya ketika tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2024 di SK Tebing Rebak di sini pada Isnin.

"Setiap tahun memang beginilah keadaannya, tiada pertambahan yang ketara dari segi bilangan murid.

"Tahun lepas, jumlah keseluruhan murid juga lapan murid, tahun ini bilangannya kekal kerana dua murid Tahun Enam yang tamat persekolahan diganti dengan dua murid Tahun 1 ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kekurangan murid di sekolah itu antara lain disebabkan kebanyakan generasi muda telah berhijrah ke bandar lain kerana bekerja.

Ashman Hazeeq (kiri) bersama Mohamad Haziq Haikal, dua murid yang mendaftar Tahun Satu sesi persekolahan 2024 di SK Tebing Rebak ketika tinjauan pada Isnin.
Ashman Hazeeq (kiri) bersama Mohamad Haziq Haikal, dua murid yang mendaftar Tahun Satu sesi persekolahan 2024 di SK Tebing Rebak ketika tinjauan pada Isnin.

"Bilangan murid yang sedikit ini membuatkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti kampung di sini sangat akrab.

"Kami dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pun hanya dianggotai empat penjaga sahaja, semuanya kalangan ibu bapa kepada lapan pelajar ini," katanya.

Dalam pada itu, Zainon berkata, sekolah yang dibina sekitar 1954 dan terletak lebih 20 kilometer dari pekan Bagan Datuk itu kini mempunyai enam guru dan lima kakitangan sokongan.


Lapan murid SK Tebing Rebak bagi sesi 2024 mendengar taklimat awal pembukaan baharu persekolahan ketika tinjauan pada Isnin.
Lapan murid SK Tebing Rebak bagi sesi 2024 mendengar taklimat awal pembukaan baharu persekolahan ketika tinjauan pada Isnin.

Katanya, walaupun dikategorikan luar bandar, murid SK Tebing Rebak tetap dilengkapi kemudahan komputer riba setiap seorang sebagai persediaan ke arah pendidikan digital selain menerima manfaat projek penyelenggaraan tandas sekolah menerusi peruntukan kementerian sebanyak RM70,000.

"Sesi pembelajaran tetap berlangsung seperti biasa dan mengikut jadual persekolahan yang ditetapkan kementerian.


Zaiton (tengah) bersama lapan murid SK Tebing Rebak yang mengikuti sesi persekolahan baharu 2024.
Zaiton (tengah) bersama lapan murid SK Tebing Rebak yang mengikuti sesi persekolahan baharu 2024.

"Sebagai guru, menjadi tanggungjawab kami memastikan mereka mendapatkan hak ilmu yang sama seperti sekolah lain, setiap mata pelajaran ada guru masing-masing termasuklah subjek Sains dan bahasa Inggeris," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!