MCMC, Maktab PDRM bangunkan siasatan siber, narkotik
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) jalin kerjasama strategik bagi pembangunan kapasiti berkaitan jenayah siber dan narkotik.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, MCMC dan Maktab PDRM menandatangani memorandum persefahaman persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Menurutnya, menerusi MoU ini, MCMC dan Maktab PDRM akan menjalin kerjasama dalam aspek kerjasama dan inisiatif pembangunan kapasiti berkaitan siasatan dan penguatkuasaan termasuklah pembangunan bersama silibus.
"MoU ini juga menyediakan kepakaran iaitu pegawai MCMC atau pegawai PDRM sebagai pensyarah semasa latihan dan penyelidikan.
"Kerjasama ini akan memperkukuh pembangunan bakat khususnya dalam industri komunikasi dan multimedia, seterusnya memacu ke arah ekonomi yang lebih mampan," katanya pada Majlis PDRM Special Dialogue 2024 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras di sini pada Isnin.
Tambah Fahmi, MCMC juga komited dalam membantu menaik taraf capaian rangkaian di Maktab PDRM dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Ujarnya, MCMC yakin penambahbaikan kepada liputan rangkaian dapat memberi manfaat kepada anggota polis khususnya yang mengikuti latihan serta kursus di Maktab PDRM.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang berbincang untuk meletakkan Maktab PDRM sebagai hub pembelajaran dan penyelidikan jenayah siber dan narkotik.
"Contohnya kepakaran analisis penyalahgunaan bahan yang dikaji hingga tahu asal dadah sama ada tempatan, Laos, Mexico dan lain-lain kerana bahan buatan itu berbeza mengikut penghasilan di makmal.
"Kita ke arah untuk selesaikan masalah kurangkan kejadian jenayah narkotik atau siber," ujarnya.
Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!